suria

Pantai Pulau Tiga Diwarta Demi Habitat Penyu

KOTA KINABALU: Kawasan pantai Pulau Tiga bakal diwartakan tahun depan bagi memastikan habitat penyu bertelur di kawasan itu sentiasa terpelihara.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun berkata kawasan itu mengambil masa lama untuk diwartakan kerana perlu menyakinkan banyak pihak berkepentingan.

"Ada perkara yang perlu dipatuhi, namun apa yang penting kawasan itu dapat diwartakan," katanya ketika selepas merasmikan laman Facebook Pendidikan '5R Hidupan Liar' dan program pendidikan kesedaran awam anjuran Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah di sini, Jumaat.

Beliau mengulas penemuan 19 bangkai Penyu Agar terancam di utara Pulau Tiga baru-baru ini, yang merupakan insiden kedua selepas penemuan 50 bangkai Penyu Agar oleh Renjer Hidupan Liar tahun lepas.

Dalam pada itu, Masidi berkata pihaknya akan membincangkan cadangan untuk mengadakan substesen di Pulau Tiga bagi mengawasi aktiviti haiwan spesis terancam diseludup keluar.

"Pulau Tiga merupakan pulau terasing dan ia cukup besar untuk dikawal," katanya.

Sementara itu, beliau berkata pendidikan penting bagi menyedarkan masyarakat tentang kepentingan menjaga spesies haiwan terancam untuk sektor pelancongan negara.

"Tiada penyelesaian melainkan kesedaran masyarakat terhadap penjagaan spesies haiwan terancam itu," katanya.

Terdahulu, Masidi mengumumkan peruntukan RM35,000 kepada tujuh sekolah di sini yang terlibat dalam program anjuran JHL itu sebagai tanda sokongan kepada sekolah untuk melaksanakan aktiviti berkaitan program kesedaran pemeliharaan dan pemuliharaan haiwan terancam di negeri ini.

Sekolah berkenaan termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan Sanzac, Sekolah Menengah Stella Maris dan Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle.

Pulau Tiga, Penyu

Artikel Lain