suria

Pasukan Petugas Khas Dibentuk Siasat Aduan Akaun 1MDB - KPN

KUALA LUMPUR: Sebuah pasukan Petugas Khas dibentuk bagi menyiasat aduan terhadap status akaun 1Malaysia Development Berhad (1MDB) jika ada bukti wujud unsur penyelewengan dan salah laku terhadap syarikat berkenaan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pasukan khas yang ditubuhkan tiga hari lepas itu telah menjalankan siasatan sejak menerima pelbagai laporan berhubung isu 1MDB.

"Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan Pejabat Peguam Negara itu turut dianggotai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)...kami menyiasat isu tersebut dan semua laporan yang dibuat," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Graduasi dan Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) antara kerajaan Malaysia dan Universiti Derby, di sini Isnin.

Khalid berkata demikian mengulas mengenai tindakan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli yang akan membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dua lagi individu, Low Taek Jho dan Datuk Shahrol Halmi berhubung isu 1MDB, esok.

Khalid berkata pihaknya juga tidak menolak kemungkinan perdana menteri turut disiasat berhubung isu tersebut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 409 Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam perkembangan lain, polis menggesa mana-mana individu yang terlibat dalam penganjuran perhimpunan #KitaLawan pada Sabtu lepas, supaya tampil menyerah diri bagi membantu siasatan.

Khalid berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas sekiranya individu terbabit enggan berbuat demikian.

"Kepada individu yang menyertai perhimpunan itu, eloklah serah diri..macam Nik Nazmi yang datang serah diri kepada kita semalam untuk kita jalankan siasatan," katanya.

Khalid berkata sekiranya ada keperluan, polis akan menahan lebih ramai  individu selepas ini, untuk diambil keterangan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad direman tiga hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan di ibu negara pada Sabtu lepas.

Nik Nazmi ditahan semalam, selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi kira-kira 10 pagi, manakala seorang kakitangan Majlis Perbandaran Subang Jaya, Mohd Saifullah Mohd Zulkifli ditahan pada 7 petang, Sabtu lepas.

Pada majlis MoU itu, kerajaan Malaysia diwakili Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Alwi Ibrahim manakala Universiti Derby diwakili Naib Canselornya Profesor John Coyne.

Sebanyak 1,580 graduan dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, menerima Diploma Kepolisan berpangkat konstabel pada majlis tersebut.

Polis, 1MDB

Artikel Berikut

Artikel Lain