suria

IS Perlu Disebut Pengganas Atau Pelampau, Bukan 'Islamic state'

PUTRAJAYA: Islamic State atau kumpulan militan IS perlu disebut sebagai kumpulan pengganas atau pelampau, bukan sebagai 'Islamic state', kata Penasihat Khas Sosio budaya kepada kerajaan Tan Sri Dr Rais Yatim. 


Menurut beliau, istilah  'Islamic State' itu mempunyai makna tertentu dan memberi gambaran buruk kepada negara Islam sebenar.

"Janganlah dengan begitu mudah menerima sahaja IS untuk merujuk kepada Negara Islam. Ia (kumpulan militan IS) adalah kumpulan mungkar. Negara Islam tidak akan melakukan kemungkaran.

Negara Islam adalah berlandaskan undang-undang syariah," katanya. Rais, yang juga penasihat kepada Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) berkata demikian dalam ucapan penutupnya pada Persidangan Antarabangsa 'Orde Baharu Dunia : Resipi Untuk Peperangan Atau Keamanan! di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, Isnin.

Beliau berkata istilah 'Islamic State' diguna dengan meluas kerana Amerika menggunakannya.

"Oleh kerana Amerika menggunakan perkataan itu, kita pun menggunakanya juga," kata beliau.

Sementara itu, bercakap dalam sidang media selepas persidangan berkenaan berakhir, presiden PGPF Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kumpulan militan IS bukan sebuah negara Islam, tetapi pengganas. 

"Kita diperkenalkan dengan perkataan IS daripada Amerika Syarikat dan kita pun terima Islamic State kononnya. Ini bukan Islamic State, ini pengganas.

"Mereka ini mungkin dilatih dan dibekal senjata dan wang oleh orang yang menuduh mereka ini ialah IS. Oleh itu, kita terpaksa fikir semula umpamanya kenapa IS terdiri daripada orang Islam cuma bunuh orang Islam sahaja...," jelas beliau. -BERNAMA

IS, Pengganas, Pelampau

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain