suria

Tindakan Rakam Gambar Pesawat Di KLIA Guna Drone Dikecam

Gambar pesawat Saudi Airlines yang didakwa dirakam menggunakan drone.
PETALING JAYA: Beberapa gambar pesawat mendarat di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dirakam menggunakan drone menerima pelbagai keceman selepas gambar tersebut yang dimuat naik di laman Facebook menjadi viral.

Gambar tersebut yang dimuat naik oleh Edward Chew didakwa diambil dari pengguna Instagram 'yengnasir' yang memuat naik gambar pesawat Saudi Air dan AirAsia mendarat di KLIA, Sepang menggunakan drone.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan jarak drone tersebut dari pesawat yang mendarat itu.

Akaun Instagram tersebut bagaimanapun telah dipadamkan.

Tarikh gambar asal yang dimuat naik pengguna Instagram tersebut juga tidak diketahui.

Chew dalam entrinya berkata, terdapat perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan dengan drone yang menjadi semakin popular di Malaysia.

"Apakah yang akan berlaku sekiranya drone tersebut terbang menghampiri pesawat? Apakah akan ada satu lagi berita gempar melibatkan pesawat Malaysia?," soal Chew di laman sosialnya.

Di bawah peraturan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) 2008 , terdapat larangan ke atas penggunaan drone dibawah 20 kilogram di ruang angkasa terkawal atau dalam zon laluan lapangan terbang kecil, melainkan jika kebenaran daripada unit kawalan trafik udara diperolehi.

Drone menjadi popular di kalangan jurugambar dengan peralatan itu yang digunakan untuk kerja profesional boleh didapati pada harga sekitar RM3,000 walaupun drone murah berharga serendah RM500.

Pada minggu lalu, media Perancis melaporkan mengesan drone berhampiran kawasan sensitif di Paris seperti istana presiden dan kedutaan Amerika Syarikat (AS).

Tiga wartawan Al-Jazeera disoal siasat polis Perancis kerana menerbangkan sebuah drone di taman Bois de Boulogne, pinggir barat Paris.

Cawangan media tersebut berkata mereka cuba menutup misteri drone di Paris baru-baru ini dan bimbang mengenai keselamatan di Perancis.

Apa jua pesawat tidak berlesen di Paris adalah menyalahi undang-undang dengan pesalah dikenakan hukuman penjara setahun dan denda 75,000 euro (RM304,000).

drone, KLIA

Artikel Berikut

Artikel Lain