suria

Tiga Mengaku Tidak Bersalah Culik Warga Bangladesh

KUALA LUMPUR: Dua sahabat dan seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini pada Selasa atas pertuduhan menculik seorang warganegara Bangladesh minggu lepas.

M. Alif Baharuddin, 21, M. Hanif Norhadi, 27, dan seorang warga Myanmar Azizullah Idris, 41, didakwa dengan niat bersama menculik atau melarikan secara paksa seorang eksekutif syarikat swasta, Muhammad Shakhawat Hussain, 31, dengan niat mengurung mangsa di dalam sebuah kereta.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan pintu masuk pusat beli-belah Pavilion Jalan Bukit Bintang, Dang Wangi, di sini pada kira-kira pukul 7 petang, 21 Feb lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin membenarkan M. Alif dan M. Hanif diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu mereka dilarang mengganggu dan menghampiri saksi-saksi pendakwaan khususnya mangsa, manakala warga Myanmar itu tidak dibenarkan jaminan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa memohon mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan kerana mereka dituduh atas kesalahan yang serius manakala Azizullah pula tiada pengesahan dokumen pengenalan oleh pihak imigresen.

Peguam Mohd Zaidi Othman yang mewakili M. Alif dan M. Hanif, memohon mahkamah membenarkan jaminan atas alasan kedua-duanya kini tidak bekerja dan mempunyai keluarga yang tidak berkemampuan.

"Selain itu, Alif baru berusia 21 tahun dan jika dia tidak dibenarkan jaminan dia akan dihantar ke penjara bersama pesalah-pesalah tegar," katanya.

Mohd Zaidi turut berkata anak guamnya berjanji untuk tidak mengganggu saksi pendakwaan dan bersedia menerima syarat tambahan oleh pihak mahkamah.

Erry Shahriman menetapkan 7 April depan untuk sebutan kes.

Bangladesh, Culik

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain