suria

IJN Akan Tingkat Nisbah Pesakit Sektor Swasta Kepada 45 Peratus

KUALA LUMPUR: Institut Jantung Negara (IJN) bercadang  meningkatkan nisbah pesakit daripada sektor swasta kepada 45 peratus daripada 30 peratus ketika ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr Mohd Azhari Yakub.

Pusat perubatan bagi rawatan dan penjagaan kardiovaskular dan torasik itu menyediakan 70 peratus daripada perkhidmatannya kepada kakitangan kerajaan dan 30 peratus kepada sektor awam.

"Dalam tiga tahun akan datang kami akan meningkatkan jumlah pesakit daripada sektor swasta kepada 45 peratus," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan BP Healthcare Group, di sini, Ahad.

Ketika ini IJN mempunyai kira-kira 4,500 pesakit sektor swasta.

Dr Mohd Azhari berkata, pusat perubatan itu telah menambahbaik kemudahannya dan mempunyai keupayaan untuk memperluaskan kepakarannya.

MoU antara IJN dan BP Healthcare, satu daripada syarikat penyedia penjagaan kesihatan, bertujuan untuk menggalakkan orang ramai menjalani pemeriksaan kesihatan.

Menerusi kerjasama itu, pakar kardiologi IJN akan ditempatkan di BP Specialist Centre bagi tujuan konsultasi dan merujukkan pesakit yang menghidap penyakit jantung koronari kepada pakar jantung di IJN.

MoU selama setahun itu akan bermula 4 Mac, dengan klinik kardiologi pertama akan dibuka di BP Specialist Centre di Petaling Jaya untuk enam bulan pertama dan akan disusuli lebih banyak cawangan akan dibuka bergantung kepada permintaan.



Artikel Berikut

Artikel Lain