suria

Najib Garis 7 Amanat Untuk Melayu Maju, Berdikari

Najib beramah mesra bersama jemaah selepas menunaikan solat Maghrib pada Perhimpunan Perpaduan Melayu di Stadium Putra Bukit Jalil pada Sabtu. malama -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan tujuh amanat utama sebagai panduan untuk bangsa Melayu melangkah maju di abad ke-21 dan menjadi kuat, hebat dan bermaruah.

Amanat tersebut termasuk keperluan melatih orang Melayu menjadi bangsa berpengetahuan dan mengukuhkan ekonomi mereka.

Amanat lain yang ditekankan Perdana Menteri malam ini menyentuh keperluan memperjuang kepentingan agama Islam dan syiarnya; mempertahan institusi raja Melayu dan keistimewaan orang Melayu; menegakkan maqasid syariah dengan bersikap sederhana; menjaga nilai-nilai murni; dan menjaga institusi keluarga.

Najib menegaskan jika orang Melayu berpegang kepada amanat ini, ia akan menjamin mereka muncul sebagai bangsa yang dihormati semua kaum dan dunia serta mampu menjadi bangsa berdikari.

Berucap pada Perhimpunan Perpaduan Melayu di hadapan ribuan hadirin di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini, pada Sabtu malam, beliau berkata: "Amanat ini bagi mewakili semua pemimpin Melayu dan hendaklah dijadikan peringatan kekal dan ia juga ingatan untuk kita semua.

"Selagi ada bulan dan bintang serta selagi darah Melayu mengalir di tubuh kita, amanat ini menjadi wadah dan maslahah umat ini dan kita akan terus perjuangkan sampai bila-bila," katanya.

Najib mengambil kesempatan itu untuk menekankan pentingnya aspek perpaduan sesama bangsa dititikberatkan.
Menurutnya, perkara itu serta perpaduan antara kaum dalam masyarakat majmuk di Malaysia menjadi anak kunci dan asas masa depan bangsa dan negara yang lebih cemerlang.

Najib seterusnya menarik perhatian hadirin bahawa bangsa Melayu telah berjalan jauh dan telah melakar pelbagai pencapaian.

Namun, ini tidak menghalang beliau daripada mengajak orang Melayu untuk terus bertanyakan soalan terhadap diri mereka sendiri; "Apa kita boleh buat atas nama orang Melayu? Apa kita boleh menyumbang?"

Menurutnya persoalan itu perlu difikirkan oleh bangsa Melayu kontemporari kerana mereka kini tidak boleh lagi bergantung harap kepada kerajaan semata-mata untuk lebih berjaya dan menjamin masa depan mereka.

"Kita tidak mahu lihat orang Melayu dihina, orang Melayu diperlekeh. Kita mahu orang Melayu menjadi bangsa disegani, dihormati dan bermaruah," katanya ketika menyampaikan ucapan yang diselangi tepukan dan sorakan tanda sokongan daripada hadirin yang membanjiri stadium itu.

Ia berlangsung hasil inisiatif Majlis Perundingan Melayu (MPM) dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Dewan Bahasa dan Pustaka, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), dan Biro Tatanegara (BTN).

Dalam pada itu, Najib berkata kerajaan akan sentiasa memainkan peranan sebagai fasilitator dalam menyediakan ruang untuk membolehkan orang Melayu dan Bumiputera mencapai kejayaan.

Bagaimanapun, beliau berkata hanya mereka yang mempunyai komitmen, kebolehan dan merit sahaja akan berjaya.

Najib berkata ini dibuktikan dengan kehadiran pemimpin Melayu yang telah berjaya pada perhimpunan ini termasuk golongan profesional dalam pelbagai bidang termasuk pemimpin syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan peneraju institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Najib Tun Razak, Melayu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain