suria

Akta Anti Keganasan Boleh Tangani Ancaman IS

KLUANG: Akta Anti Keganasan yang akan dibentangkan tidak lama lagi, dilihat berupaya menjadi penanda aras global untuk menangani ancaman kumpulan militan IS.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pada ketika ini, kebanyakan negara masih terkapai-kapai untuk memikirkan kaedah terbaik untuk berhadapan dengan ancaman pengganas seperti IS.

"Seperti Malaysia, ada negara lain yang juga sedang memikirkan sama ada undang-undang yang ada dalam negara mereka cukup sesuai untuk menangani ancaman IS.

"Bagi Malaysia, saya percaya pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN), Peguam Negara dan pihak-pihak berkepentingan telah pun melihat landskap ancaman ini," kata beliau kepada pemberita selepas majlis sambutan Tahun Baharu Cina 2015 Parlimen Sembrong, di Paloh, Sabtu.

Hishammuddin, yang juga Anggota Parlimen Sembrong berkata demikian ketika menjawab pertanyaan bagaimana akta itu boleh membantu pertahanan negara daripada ancaman militan.

Januari lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya kini di peringkat akhir penyediaan draf Rang Undang-Undang Anti Keganasan sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat Mac ini.

Undang-undang itu juga akan menjadi entiti berasingan daripada undang-undang yang ada dalam negara di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012, selain akan mengadakan peruntukan bagi undang-undang yang lebih ketat kepada aktiviti keganasan.

Sementara itu, Hishammuddin berkata sebahagian besar negara-negara Asean yang dilawati beliau sejak akhir-akhir ini telah bersetuju untuk menjadi anggota Pasukan Pengaman ASEAN di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Melalui pasukan pengaman, kita akan mengibar sebanyak 10 panji untuk keamanan dan ini yang membezakan kita dengan negara-negara lain kerana ia mempunyai nilai-nilai sejagat serta serantau," kata beliau.

Sebelum ini, Hishammuddin yang juga Pengerusi Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) telah melakukan lawatan ke beberapa negara antaranya Myanmar untuk bertemu dengan rakan sejawat.

Akta Anti Keganasan, Militan IS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain