suria

LTAT Umum Dividen, Bonus 15 Peratus Berjumlah RM835.1 Juta

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) akan membuat pembayaran dividen dan bonus sebanyak 15 peratus yang berjumlah RM835.1 Juta bagi tahun kewangan 2014, jumlah tertinggi dibayar sejak LTAT ditubuhkan 42 tahun lalu.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata jumlah itu meningkat sebanyak 2.1 peratus berbanding RM 818.3 juta pada tahun sebelumnya.

"Jumlah 15 peratus ini merangkumi dividen biasa sebanyak tujuh peratus, bonus (satu peratus) dan bonus khas (tujuh peratus) dalam bentuk unit-unit amanah saham secara percuma kepada pencarum yang aktif," katanya dalam satu kenyataan, Ahad.

Purata kadar dividen dan bonus LTAT bagi lima tahun kebelakangan ini adalah 15.2 peratus setahun.

Menurutnya, berdasarkan penyata kewangan yang belum diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014, LTAT telah mencatat keuntungan sebanyak RM1.014 bilion iaitu peningkatan sebanyak 4.9 peratus berbanding RM967 juta pada tahun sebelumnya.

Hishammuddin berkata, keuntungan melebihi paras RM1 bilion ini merupakan kali pertama sejak penubuhan LTAT.

Beliau berkata, jumlah aset LTAT sehingga 31 Disember tahun lepas meningkat sebanyak 2.2 peratus kepada RM9.4 bilion berbanding RM9.2 bilion pada tahun sebelumnya dan jumlah akaun carumannya pula ialah RM8.7 bilion berbanding RM8.3 bilion tahun 2013.

LTAT juga telah membuat bayaran balik wang caruman berjumlah RM985.8 juta kepada 7,031 pencarum yang tamat perkhidmatan dan RM18.8 juta kepada 2,568 yang layak membeli rumah di bawah Skim Pengeluaran Perumahan LTAT.

Katanya, sebanyak RM8.6 juta dibayar kepada 244 pencarum di bawah Skim Faedah Kematian dan Hilang Upaya dengan RM5.3 juta kepada 195 waris pencarum yang meninggal dunia di bawah Skim Faedah Kematian dan RM1.5 juta dibayar kepada 49 ahli di bawah Skim Faedah Hilang Upaya.

Hishammuddin berkata, beliau berpuas hati di atas pencapaian dan prestasi LTAT bagi tahun 2014 dan yakin prestasi baik itu dapat dikekalkan dan dipertingkatkan.


LTAT, Hishammuddin Tun Hussein, bonus

Artikel Lain