suria

Malaysia Masih Negara Contoh Hubungan Kaum Yang Harmonis - Muhyiddin

Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia masih gagah berdiri sebagai negara contoh hubungan kaum yang harmonis berbanding negara lain yang sentiasa bergolak walaupun tidak terdiri daripada rakyat berbilang bangsa.

Timbalan perdana menteri berkata keharmonian yang terserlah dalam perayaan Tahun Baharu Cina contohnya, adalah cerminan betapa negara majmuk seperti Malaysia jauh lebih istimewa, dan berjaya berbanding kebanyakan negara lain.

Lebih menarik dan unik apabila suasana keharmonian di Malaysia turut dijelmakan ketika musim perayaan dengan amalan kunjung-mengunjung dan rumah terbuka, katanya dalam perutusan Tahun Baharu Cina beliau, Selasa.

Namun, beliau berkata kerajaan sedar masih ada sesetengah pihak yang membuat tuntutan keterlaluan bertujuan mengganggu keharmonian.

"Mereka inilah sebenarnya duri dalam daging kepada pembinaan bangsa Malaysia. Tujuan mereka tidak lebih daripada hanya ingin memporak-perandakan keharmonian kaum di Malaysia dan memuaskan nafsu politik jangka pendek mereka," katanya.

Muhyiddin berkata, beliau percaya rakyat Malaysia memahami erti keharmonian dan kestabilan yang dikecapi selama ini.

Timbalan Perdana Menteri mengajak rakyat tanpa mengira kaum dan agama supaya terus berikrar mengekalkan keharmonian dan perpaduan kaum menerusi kesedaran dan komitmen baharu.

"Formula kestabilan dan keharmonian negara yang diguna pakai selama ini bukan sahaja perlu dipertahan, bahkan dijana dengan penggemblengan lebih besar dalam proses integrasi kaum.

"Lebih banyak keuntungan akan diperoleh daripada kestabilan dan keharmonian yang lebih utuh sesama kita," tegas beliau.

Muhyiddin menarik perhatian bahawa formula yang telah diguna pakai oleh pemimpin terdahulu hingga sekarang dalam menguruskan perbezaan antara kaum adalah kunci kepada kemakmuran negara.

"Kehidupan rakyat yang aman dan sempurna telah dijadikan prasyarat utama sehingga membawa kepada kejayaan dan kemajuan Malaysia pada hari ini," katanya sambil mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada rakyat Malaysia berketurunan Tionghua.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain