suria

Peniaga Rugi RM14 Juta Dakwa Ditipu Ejen Jongkong Emas

KUALA LUMPUR: Pemilik sebuah syarikat jual beli emas serta rakannya mendakwa mereka kerugian lebih RM14 juta setelah menjadi mangsa penipuan ejen urus niaga dan pengedar jongkong emas.

Pengadu berkenaan, Ismazali Mohd Ismail, 32, yang juga pemilik Syarikat Habib Gold  and  Jewelleries di Shah Alam mengaku ditipu ejen terbabit yang mempunyai sebuah syarikat berdaftar di Seremban.

"Sejak lima bulan lepas, saya sudah membeli jongkong emas dalam skala kecil dan tiada masalah berurusan dengan ejen berkenaan yang mana setiap barang yang kita tempah, akan dipenuhi dalam tempoh dijanjikan.

"Tetapi dalam urusan jual beli November lepas yang babitkan jumlah pembelian yang besar, barang yang dijanjikan gagal disampaikan sehingga ke hari ini.

"Alasan yang diberikan ialah barang itu tiada. Malah duit saya dan pembeli lain juga tidak dipulangkan langsung," katanya pada pemberita di sini, Selasa.

Beliau percaya modus operandi ejen berkenaan adalah dengan memancing pelanggannya membeli jongkong emas pada jumlah yang besar dengan harga murah berbanding harga sebenar dipasaran sebelum menipu pembeli.

Ismazali berkata, beliau telah membuat satu laporan polis di Seremban dan telah memfailkan permohonan injunksi ke mahkamah semalam untuk tindakan lanjut.

Rakan mangsa yang juga seorang ahli perniagaan, Abdul Malik Dasthigeer berkata, beliau tidak menyangka ejen tersebut sanggup menipu pihak mereka memandangkan urusan jual beli melibatkan jumlah yang besar.

"Saya meminta orang ramai agar tidak tertipu dengan ejen ini yang masih lagi berani beroperasi sehingga hari ini dengan iklan-iklan yang ditampalkan di banyak tempat di Seremban dan Lembah Klang," katanya.

Artikel Lain