suria

Polis Jamin Selangor Selamat

SHAH ALAM: Polis Selangor hari ini memberi jaminan tahap keselamatan di negeri itu masih terkawal dan rakyat tidak perlu gusar dengan penyebaran maklumat dalam laman sosial mengenai insiden pergaduhan membabitkan kumpulan gengster baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata pihaknya mempunyai strategi tertentu dalam menangani kegiatan jenayah melibatkan kumpulan berkenaan.

"Kita harap orang ramai jangan terus percaya khabar angin yang disebar menerusi laman sosial kerana ia boleh menimbulkan pelbagai spekulasi sehingga memburukkan keadaan," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Mohd Adnan berkata dua kes pergaduhan di Teluk Panglima Garang dan Banting dalam tempoh seminggu lepas sehingga menyebabkan kematian dipercayai melibatkan unsur gengsterisme dan kes berkenaan sedang disiasat secara terperinci.

Katanya 10 lelaki warga tempatan serta seorang lelaki warga Nepal berumur 19 hingga 34 tahun telah ditahan berhubung kedua-dua kes berkenaan dan pihaknya sedang giat memburu beberapa lagi individu terbabit.

"Bagi kes terbaharu di Banting semalam, seorang lelaki 26 tahun mati kerana ditembak beberapa das dan susulan kejadian itu, tiga lelaki berumur 26 hingga 29 tahun ditahan kira-kira 2.30 pagi tadi di Teluk Panglima Garang untuk membantu siasatan.

"Dalam satu lagi kes di Teluk Panglima Garang Rabu lepas, seorang lelaki berumur 34 tahun mati kerana ditetak di badan selepas bergaduh dengan beberapa rakan lain dan bagi kes itu, polis menahan lapan lelaki termasuk seorang warga Nepal. Siasatan kes masih dijalankan," katanya.

Beliau berkata siasatan awal menunjukkan mangsa yang mati adalah anggota kumpulan gengster, namun kedua-dua kejadian itu tidak mempunyai sebarang kaitan.

Mohd Adnan berkata polis juga sedang memburu seorang anggota kumpulan yang masih bebas iaitu M. Shanmugam, 31, atau dikenali sebagai 'Sun Boy' beralamat terakhir di Teluk Panglima Garang kerana dikenal pasti terlibat dengan kes mangsa yang ditetak.

Katanya tiga lelaki yang ditahan bagi kes kematian di Banting, direman sehingga Sabtu depan, manakala lapan lelaki yang ditangkap bagi kes pergaduhan di Teluk Panglima Garang direman sehingga Rabu ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain