suria

Khalwat Siang Hari, 11 Pasangan Ditahan

JOHOR BAHARU: Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) menahan 11 pasangan yang dipercayai bersekedudukan tanpa ikatan sah dalam Operasi Mawar Merah sempena Hari Kekasih, sejak petang semalam hingga awal padi Ahad.

Penolong Pegawai Penguat kuasa JAIJ, Hafiz Abd Rahman berkata operasi bermula pukul 3 petang Sabtu berakhir sekitar 4 pagi tadi itu menumpukan premis hotel di sekitar bandar raya ini sebagai sasaran utama.

"Operasi mencegah aktiviti tidak bermoral berkenaan dimulakan pada siang hari kerana sedar ia boleh berlaku pada bila-bila masa lebih-lebih lagi ketika sambutan Hari Kekasih seperti ini.

"Jangkaan itu tepat kerana daripada 10 serbuan yang dilakukan pada sebelah siang, sebanyak dua pasangan yang bukan suami isteri ditemui sedang bersekedudukan di dalam bilik hotel," katanya kepada pemberita selepas operasi terbabit berakhir.

Hafiz berkata secara keseluruhan, sebanyak 30 serbuan dilakukan dalam operasi yang disertai 20 anggota dan pegawai Bahagian Penguat kuasa JAIJ.

Beliau berkata kesemua 11 pasangan terbabit ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana disyaki berkhalwat, yang boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hafiz berkata, dalam operasi itu, JAIJ turut dikejutkan dengan penemuan seorang wanita berumur 32 tahun dan bayinya yang dipercayai anak luar nikah yang masih belum didaftarkan di dalam satu daripada bilik hotel yang diserbu.

"Bagi kes ini, JAIJ mengeluarkan notis untuk hadir ke pejabat JAIJ untuk membantu siasatan kerana disyaki atas kesalahan persetubuhan luar nikah," katanya.

Menurut Hafiz, antara yang turut ditahan dalam operasi berkenaan adalah wanita berumur 22 tahun dari negeri pantai timur yang datang ke sini untuk menemui pasangannya, iaitu rakyat tempatan yang bekerja di Singapura.

Katanya, daripada rekod yang diperoleh daripada pihak hotel, pasangan berkenaan didapati sudah mula menginap di hotel berkenaan pada satu malam sebelum serbuan dilakukan.

JAIJ, Khalwat

Artikel Lain