suria

Militan Mungkin Culik Taikun, Rompak Bank Di Malaysia - Zahid Hamidi

Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR: Kumpulan militan Negara Islam (IS) mempunyai rancangan untuk menculik taikun dan merompak bank di Malaysia bagi membiayai aktiviti keganasan mereka, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran.

Beliau mendedahkan bahawa perisikan menunjukkan kumpulan ekstemis itu telah mengenal pasti ahli perniagaan yang kaya-raya di Malaysia.

"Mereka tidak memuktamadkan lagi sasaran tetapi kita percaya mereka telah mula merancang untuk melakukannya," katanya dalam satu temuramah bersama beberapa akhbar berbahasa Cina pada Selasa lalu.

Ahmad Zahid berkata, IS memerlukan sejumlah besar dana dan dengan itu telah menyasarkan untuk menculik ahli perniagaan yang kaya-raya, sebagaimana penculikan yang dilakukan di Sabah oleh kumpulan Abu Sayyaf.

"Di Malaysia, kebanyakan yang kaya biasanya bukan Melayu," katanya dipetik sebagai berkata dalam laporan akhbar Nanyang Siang Pau, ketika ditanya mengenai identiti ahli perniagaan yang disasarkan.

Beliau berkata, senarai nama itu tidak boleh didedahkan lagi. Beliau menggesa taikun di negara ini supaya lebih berhati-hati terhadap aspek keselamatan mereka.

Ahmad Zahid turut berkata, ancaman IS sememangnya berlaku.

"Ancaman ini memang wujud dan bukan sesuatu yang boleh dijadikan jenaka kerana kita semua berhadapan dengan kekejaman IS.

"Terdapat kemungkinan mereka akan membunuh rakyat Malaysia. Apa yang ingin saya tekankan di sini ialah sasaran mereka bukan sahaja orang Islam yang terdiri daripada mazhab yang berbeza tetapi juga menyasarkan orang bukan Islam, yang dilihat mereka sebagai kafir dan boleh dibunuh tanpa penyesalan," katanya, seperti yang dilaporkan dalam akhbar Sin Chew Daily.

Ahmad Zahid menyeru rakyat supaya menyokong cadangan Akta Pencegahan Keganasan (Pota) untuk membanteras keganasan.

Beliau berkata, Malaysia sedang memantau pembebasan antara 200 hingga 300 anggota Jemaah Islamiah (JI) dari beberapa penjara Indonesia, dan telah memperoleh data biometrik tahanan itu.

"Kita akan memperketatkan keselamatan di bahagian pemeriksaan imigresen untuk menghalang mereka yang mempunyai kaitan dengan IS daripada memasuki negara ini. Kita tidak mahu tunggu sehingga sebutir bom meletup di mana-mana sebelum kita baharu mula untuk membuat penangkapan," tambahnya.

Ahmad Zahid berkata, IS telah merekrut rakyat Malaysia menerusi anggota sedia ada yang mengenali calon berpotensi atau menerusi Internet.

Beliau berkata, terdapat sejumlah 59 rakyat Malaysia yang terlibat dalam aktiviti militan di Syria. Tujuh daripada jumlah itu telah terbunuh.

"Seramai 117 lagi pulang ke tanah air atau mereka sedang merancang untuk menyertai kumpulan yang ditahan di negara ini," tambahnya.

Ahmad Zahid Hamidi, militan, IS, taikun

Artikel Sebelum

Kereta Hatta Ramli Cuba Dibakar

Artikel Lain