Beliau berkata orang ramai diminta untuk tidak melakukan perkara yang boleh dianggap sebagai khurafat ketika menziarahi pusara Allahyarham.
"Saya nasihat kepada rakyat Malaysia yang datang ziarah hendaklah menepati sunah Nabi Muhammad SAW kerana ziarah keluarga dan tok guru adalah sama.
"Perlu berdoa dan mengambil peringatan untuk diri sendiri, jangan tambah (melakukan) benda yang bersifat bidaah dan khurafat kerana ia akan membatalkan amalan soleh kita sendiri," katanya ketika ditemui di kediamannya di Pulau Melaka di sini, hari ini.
Nik Mohamad Abduh berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai khabar angin kononnya terdapat segelintir masyarakat yang mengambil tanah di pusara berkenaan untuk dijadikan azimat dan sebagainya.
Tinjauan Bernama di Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka di sini, mendapati orang ramai tidak henti-henti menziarahi pusara bekas Menteri Besar Kelantan itu.
Anggota Dewan Undangan Negeri Chempaka itu dibawa pulang dari Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian di sini, kira-kira 8.40 malam hari yang sama setelah dirawat di hospital itu sejak 19 Januari lepas kerana kanser prostat.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka, pada 11.30 pagi semalam.


