suria

KPDNKK Umum Harga Maksimum 12 jenis Barangan Terkawal

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek melawat gerai jualan ayam selepas merasmikan Skim Kawalan Harga Sempena Musim Perayaan Tahun Baru Cina di Pasar Awam Lukut dekat Port Dickson pada Sabtu. 
 --foto BERNAMA.
PORT DICKSON: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengumumkan harga maksimum bagi 12 jenis barangan harga terkawal, berkuat kuasa di bawah Skim Kawalan Harga menjelang perayaan Tahun Baharu Cina 2015.

Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek, berkata skim berkenaan bermula hari ini hingga 25 Februari iaitu lima hari sebelum, semasa dan enam hari selepas perayaan itu.

"Ia akan dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. Barangan ini ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B dan C, kubis bulat import, bawang putih (China), ikan bawal putih, udang putih besar dan daging babi.

"Skim ini dilaksanakan supaya pengguna dapat memperoleh barangan perlu musim perayaan pada harga yang berpatutan dan menyekat daripada peningkatan harga yang melampau.


"Selain itu, ia juga antara langkah kerajaan untuk mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat," katanya pada sidang media selepas merasmikan Skim Kawalan Harga sempena Musim Perayaan Tahun Baharu Cina di Pasar Awam Lukut dekat sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Francais dan Kepenggunaan) KPDNKK Datuk Basaruddin Sadali, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPDNKK Datuk Zaidon Asmuni dan Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNKK Mohd Roslan Mahayudin.

Hasan berkata peniaga diwajibkan menjual barangan harga terkawal ini tidak melebihi harga maksimum yang ditentukan oleh kerajaan dan meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal bagi membezakan dengan barangan lain.

Bagaimanapun, katanya peniaga digalakkan untuk menjual barangan tersebut lebih rendah daripada harga maksimum sekiranya harga yang diperoleh adalah lebih rendah.

Hasan berkata pegawai penguat kuasa dan pegawai pemantau harga KPDNKK akan berada di lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar pagi dan pasar tani untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan.

Katanya ini adalah tindakan berterusan dalam usaha melindungi pengguna daripada aktiviti pengambilan keuntungan yang berlebihan oleh peniaga yang tidak beretika semasa musim perayaan.

Sementara itu, ketika merasmikan program Francais Komuniti Port Dickson 2015 di Dataran Seri Kemang di sini, beliau berkata setakat ini 760 sistem francais yang terdiri daripada pelbagai sektor telah didaftarkan dengan Pejabat Pendaftar Francais KPDNKK dan daripada jumlah itu 7,525 perniagaan francaisi diwujudkan.

Hasan berkata sistem francais adalah kaedah berkesan untuk mewujudkan keusahawanan di semua lapisan masyarakat dan ini mendorong kerajaan meningkatkan usaha membangunkan industri francais tempatan dengan menggalakkan lebih banyak usahawan mengembangkan perniagaan mereka melalui sistem francais.

Mengenai program Francais Komuniti, beliau berkata kementeriannya berusaha mendekatkan masyarakat dengan memberi maklumat dan bimbingan untuk membangunkan perniagaan dan keusahawanan francais.

"Di kementerian saya, program francais adalah satu daripada program utama khusus untuk membangunkan keusahawanan francais bertujuan membawa peluang perniagaan francais kepada semua golongan masyarakat sesuai dengan slogan, francais untuk semua," katanya.

Turut hadir pada majlis ini ialah Pengarah Urusan Perbadanan Nasional Bhd (PNS) Datuk Syed Kamaruzaman Syed Zainal Khodki Shahabudin.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain