Lelaki Warga India Maut Dalam Kebakaran Di Klang - Semasa | mStar

Lelaki Warga India Maut Dalam Kebakaran Di Klang

KLANG: Seorang lelaki warga India maut selepas terperangkap dalam kebakaran membabitkan rumah kedai dua tingkat di Jalan Tengku Kelana di sini awal pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Kamarul Zaman Mamat ketika dihubungi berkata, ketika kejadian mangsa yang dikenali sebagai Subramani, 44, sedang tidur bersama lima lagi pekerja kedai emas di bahagian atas rumah kedai berkenaan.

"Mereka merupakan pekerja kedai emas yang terletak di bawah premis rumah kedai ini. Mangsa bersama empat lelaki warga India dan seorang lelaki warga tempatan sedang tidur ketika kejadian 2.30 pagi tadi," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata empat pekerja kedai emas itu sempat menyelamatkan diri apabila dikejutkan dengan bunyi letupan dan gegaran dari tingkat bawah premis berkenaan.

Katanya, seorang lagi pekerja warga India yang dikenali sebagai Rajesh, 28, yang turut berada di tempat kejadian masih belum ditemui.

Sisatan awal mendapati, Subramani dipercayai meninggal dunia akibat sesak nafas ekoran terhidu asap tebal dan mayatnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk bedah siasat.

Kamarul Zaman berkata, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Sri Andalas turut bergegas ke lokasi kejadian bagi membantu operasi menyelamat dan memadamkan kebakaran.

"Kita tidak menolak kemungkinan letupan disyaki berpunca daripada gas kimpalan emas yang diletakkan di bahagian bawah premis...namun kita akan menunggu laporan forensik bagi mengetahui punca sebenar kejadian," katanya.

Artikel Sebelum

Bukan Soal Mahu Atau Tidak - Azmin

Artikel Berikut

Anwar Boleh Nasihat Dari Penjara

Artikel Berkaitan

Anwar Tak Bersalah, Dizalimi - Nurul Nuha

Lebih Artikel

"Kami sudah beri yang terbaik" - Aidil

Almy Nadia lahir anak perempuan ketiga

Peng Soon, Liu Ying tinggalkan BAM