suria

Bukan Soal Mahu Atau Tidak - Azmin

Azmin menegaskan bahawa calon Ketua Pembangkang perlu dipilih dan mendapat persetujuan bersama semua komponen Pakatan Rakyat.

SUBANG JAYA: Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali masih berdolak-dalik mengenai calon Ketua Pembangkang di Parlimen walaupun beliau disebut-sebut sebagai individu yang layak untuk menerajui pakatan pembangkang.

Tegas beliau, pemilihan calon pengganti Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dipilih dan mendapat persetujuan bersama semua komponen Pakatan Rakyat.

"Bukan soal saya mahu atau tidak (jawatan Ketua Pembangkang). Tapi kekuatan Pakatan Rakyat ialah kita akan bincang dan buat keputusan atas muafakat dan konsensus," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Ketika terus diasak dengan soalan sama ada beliau bersedia untuk dilantik sebagai Ketua Pembangkang, Azmin bagaimanapun cuba mengelak untuk dikaitkan dengan jawatan itu.

"Saya akan melihat keputusan Majlis Pakatan Rakyat," katanya penuh berhati-hati.

Diminta mengulas mengenai pandangan ahli akademik bahawa beliau adalah calon yang layak untuk mengambil alih peranan Ketua Pembangkang, Azmin sekali lagi mahu perkara itu dibincangkan di peringkat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

"Ada ramai lagi pemimpin lain yang layak dan mampu untuk mengetuai Pakatan Rakyat dan Ketua Pembangkang.

"Kita akan bincang dan pilih berdasarkan konsensus pemimpin pakatan," katanya.

Pada Selasa, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anwar dan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun dihadapinya bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun 2008.

Beliau kini ditahan di Penjara Sungai Buloh, Selangor.

Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyatakan seseorang Ahli Parlimen boleh dilucutkan kelayakannya jika beliau dijatuhi hukuman penjara lebih daripada setahun atau didenda lebih daripada RM2,000.

Artikel Lain