suria

Anwar Boleh Nasihat Dari Penjara

Anwar yang kini dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh kekal menjadi Penasihat Ekonomi Selangor.

SUBANG JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus menjadi Penasihat Ekonomi Selangor walaupun kini sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan meliwat.

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan negeri masih memerlukan khidmat nasihat Anwar bagi melancarkan pentadbiran pimpinannya.

"Ya, kekal (sebagai Penasihat Ekonomi). Kita masih memerlukan nasihatnya," katanya ringkas ketika ditemui pemberita di sini, Rabu.

Ditanya sama ada Anwar mampu menjalankan tanggungjawabnya, Azmin yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata: "Mengapa tidak? Beliau boleh sampaikan mesej melalui peguam atau keluarga."

Tambah Azmin, beberapa hari sebelum Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman penjara terhadap Anwar, beliau berpesan supaya memastikan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat itu terus dipertahankan.

"Datuk Seri Anwar pesan bahawa Selangor kena terus maju terutamanya untuk memastikan sistem penyampaian diuruskan dengan baik," katanya.

Pada Selasa Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anwar dan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun dihadapinya bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun 2008.

Beliau kini ditahan di Penjara Sungai Buloh.

Azmin Ali, Anwar Ibrahim

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain