suria

Hudud: Mat Sabu Nafi Wujud Cubaan Untuk Sabotaj Pakatan

Mohamad Sabu.
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu menafikan dakwaan bahawa wujud puak tertentu di dalam parti itu cuba untuk mensabotaj Pakatan Rakyat berikutan keengganan untuk mendedahkan kertas cadangan hukum hudud di Kelantan kepada rakan sekutu mereka.

"Itu adalah spekulasi semata-mata," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS pada Jumaat.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan bahawa terdapat puak tertentu di dalam parti Islam itu yang cuba mensabotaj Pakatan Rakyat kerana enggan mendedahkan kertas cadangan hukum hudud di Kelantan kepada DAP dan PKR dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, Ahad ini.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke dipetik sebagai berkata terdapat 'percubaan jelas, untuk memecah belahkan Pakatan oleh segelintir puak di dalam PAS.

"Pendirian kami jelas. Hudud bukan sebahagian daripada agenda dalam Pakatan dan sebarang cubaan untuk memperkenalkan hukum itu akan melanggar agenda tersebut," kata Anthony Loke.

Difahamkan PAS akan membentangkan rang undang-undang persendirian di Parlimen bulan depan bagi mendapatkan kelulusan beberapa pindaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 yang akan membolehkan ia melaksanakan hukum hudud dan qisas di negeri itu sebelum dibentangkan kepada PKR dan DAP.

Ketika ditanya lebih lanjut, Mohamad berkata pemimpin PAS akan membuat keputusan sama ada akan mendedahkan ia kepada sekutu mereka semasa mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada pagi Ahad.

PAS, Mohamad Sabu, Pakatan Rakyat

Artikel Lain