suria

Pembaikan Landasan Keretapi Di Kelantan Siap Tiga Hingga Enam Bulan

Datuk Ab Aziz Kapraw
KUALA KRAI: Kerja pembaikan landasan keretapi di negeri ini yang rosak akibat banjir Disember lepas dijangka dapat disiapkan dalam tempoh tiga hingga enam bulan, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi.

Beliau berkata kontraktor dijangka memulakan kerja pembaikan bulan depan dan fokus utama pembaikan ialah di lokasi antara Kuala Krai dan Bertam Baru di Gua Musang yang mengalami kerosakan paling teruk.

"Fokus utama di kawasan itu kerana penggunaan perkhidmatan keretapi yang tinggi oleh pelajar sekolah dan penduduk setempat. Ia melibatkan landasan sepanjang 62km," katanya kepada pemberita selepas meninjau landasan keretapi yang rosak akibat banjir di Kampung Kubang Lebur di sini, Khamis.

Beliau berkata banjir besar yang berlaku Disember lepas telah menyebabkan 79 lokasi landasan keretapi dan infrastruktur lain dari Gemas hingga Tumpat mengalami kerosakan dan pembaikan keseluruhannya dijangka mengambil masa setahun.

"Anggaran kerugian ialah sebanyak RM350 juta dan kerajaan telah menyediakan peruntukan awal sebanyak RM200 juta sebagai komitmen untuk kerja membaik pulih landasan keretapi itu," katanya.

Terdahulu ketika bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan pakaian sekolah kepada pelajar mangsa banjir anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan  (JPJ) di Sekolah Kebangsaan Manek Urai Lama di sini, Ab Aziz berkata mangsa banjir yang hilang atau rosak lesen memandu, cukai jalan atau surat hak milik kenderaan, boleh mendapatkan yang baharu secara percuma sehingga akhir bulan ini.

Artikel Sebelum

Artikel Lain