suria

KDN Lantik Kontraktor Baharu Bina IPK Johor Yang Terbengkalai

Nur Jazlan Mohamed

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) melantik kontraktor baharu bagi meneruskan pembinaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor yang terbengkalai Oktober lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Mohamad Khalid Shariff (ketika itu) telah menjelaskan isu tersebut semasa menghadiri prosiding jawatankuasa berkenaan, berhubung pengurusan pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada 14 Oktober lepas.

"Saya ingin menjelaskan KSU KDN ketika itu, menjelaskan kepada PAC bahawa kontraktor lama IPK Johor sudah ditamatkan perkhidmatan, atas pelbagai sebab dan kementerian sudah melantik kontraktor baharu bagi meneruskan pembinaan IPK Johor.

"Kita berpuas hati dengan penjelasan KDN kerana tindakan sudah diambil kementerian bagi mengatasi kelewatan projek berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini, Ahad.

Katanya isu mengenai kelewatan pembinaan IPK Johor itu mula disahkan sendiri Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada Jun lepas.

"Bagi pihak PAC, kita berpendapat isu mengenai kelewatan pembinaan IPK Johor sudah diambil tindakan dan tiada lagi sebarang perkara berbangkit," katanya.

KDN, kontraktor, IPK Johor, PAC

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain