Impian Dapat Anak Perempuan Tercapai Pada Hari Wilayah Persekutuan - Semasa | mStar

Impian Dapat Anak Perempuan Tercapai Pada Hari Wilayah Persekutuan

BAYI HARI WILAYAH... Jururawat Hospital Bersalin Kuala Lumpur, Adlilhuda Abdul Rahim, 37, melihat bayi-bayi yang lahir pada 1 Februari sempena Hari Wilayah di Hospital Bersalin Kuala Lumpur pada Ahad.
 - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Setelah sekian lama menginginkan anak perempuan, akhirnya impian seorang ibu tercapai apabila beliau melahirkan anak keempatnya di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada Ahad.

Siti Norhariani Kamal, 28, berkata beliau tidak terlalu berharap untuk mendapatkan anak perempuan kerana sebelum ini melahirkan tiga anak lelaki yang berusia antara dua hingga empat tahun.

"Saya memang tidak menjangka akan melahirkan bayi perempuan pada Hari Wilayah memandangkan tarikh jangkaan bersalin sebenar pada 25 Februari nanti," katanya ketika ditemui pemberita di HKL di sini.

Bayinya yang pramatang seberat 3.3kg itu dilahirkan pada pukul 1.25 pagi Ahad.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam HKL, Mohamed Shazree Mustapha berkata setakat pukul 3 petang Ahad, sebanyak 16 bayi telah dilahirkan di hospital tersebut.

"Terdapat 12 bayi dilahirkan secara normal manakala empat lagi melalui pembedahan," katanya.

Di Hospital Pantai Kuala Lumpur, seorang bayi perempuan seberat 2.81kg dilahirkan secara normal pada pukul 2.13 pagi Ahad, menurut Pegawai Perhubungan Awamnya, S.Hema Kumari.
bayi , Hari Wilayah Persekutuan

Artikel Sebelum

Belukar Di Batu 12, Segenting Terbakar