suria

DCA Batal Sidang Media MH370

Sidang media maklumat terbaharu mengenai kehilangan pesawat MAS MH370 dibatalkan pada saat akhir.

PUTRAJAYA: Sidang media Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengenai maklumat terbaharu berkaitan kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MH370) yang dijadualkan diadakan petang Khamis, dibatalkan.

Pengumuman itu dibuat setelah lebih sejam pengamal media menunggu di Dewan Serbaguna DCA di sini.

"Sidang media mengenai MH370 terpaksa dibatalkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Pengumuman baharu mengenai tarikh lain bagi sidang media akan dimaklumkan kemudian," kata seorang jurucakap kepada pengamal media.

Pihak DCA kemudiannya mengeluarkan kenyataan media menjelaskan pembatalan itu kerana menganggap tidak sesuai ia diadakan dengan kehadiran waris mangsa tragedi berkenaan.

Sehubungan itu, rakaman kenyataan Ketua Pengarah DCA, Datuk Azharuddin Abdul Rahman akan disiarkan menerusi RTM1 pada pukul 6 petang ini. 

Pesawat MH370, yang membawa 227 penumpang serta 12 anak kapal, berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 pagi, 8 Mac 2014, hilang daripada radar sejam selepas itu ketika dalam penerbangan ke Beijing.

Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC), yang mengetuai operasi mengesan pesawat berkenaan, bertegas menyatakan pesawat Boeing 777 itu dipercayai hilang di selatan Lautan Hindi. 

Ketua Koordinator, Judith Zielke berkata, tugasan paling kritikal adalah untuk menentukan kawasan carian dan usaha berkenaan dijalankan  oleh kumpulan pakar daripada beberapa negara.

Sehingga kini pencarian di bawah permukaan air telah merangkumi kawasan seluas 6,900 kaki persegi, yang menjangkaui keluasan Negeri Sembilan.

MH370, MAS, sidang media

Artikel Berikut

Artikel Lain