suria

PLKN Bukan Pembaziran Tapi Pelaburan Masa Depan - Bekas Pelatih

PETALING JAYA: Sejumlah besar dana yang diperuntukan kerajaan setiap tahun untuk penganjuran Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sejak 11 tahun lalu tidak seharusnya dianggap sebagai pembaziran kerana ia mampu membawa pulangan lebih besar kepada negara dengan membentuk generasi muda berkeperibadian unggul dan cemerlang.

Begitulah antara maklum balas yang diterima susulan pengumuman kerajaan untuk menangguhkan program itu, sekali gus membolehkan negara menjimatkan sehingga RM400 juta tahun ini.

Tinjauan rambang mStar Online di kalangan bekas pelatih program itu mendapati, rata-rata mereka mahu PLKN diteruskan kerana program yang memberi penekanan kepada konsep 1Malaysia dalam modul pengajarannya itu menjadikan setiap pelatih lebih memahami dan menghormati serta menghargai perbezaan kaum dan kepercayaan yang dianuti masing-masing.

Program tersebut juga menjadi platform dalam memupuk perpaduan kaum dan integrasi nasional serta membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni di kalangan pelatih, sekali gus dianggap pelaburan untuk masa depan negara.

Bagi mereka, tempoh 11 tahun masih terlalu awal untuk menghentikan program itu, sebaliknya beberapa penambahbaikan perlu dilakukan bersesuaian dengan situasi ketika ini sebagai usaha untuk melahirkan bakal pelapis yang akan menerajui negara pada masa akan datang.

Pengerusi Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN), Mohd Syafik Mohd Taufik berkata, melalui program itu, remaja dilengkapkan dengan semangat patriotisme, daya kepimpinan berkualiti, pembentukan sikap toleransi dan jati diri yang tinggi selain iman dan akhlak terpuji.

"Melalui pemerhatian saya, kebanyakan pelatih yang mengikut program tersebut lebih berdisiplin dan mampu menguruskan masa dengan baik. Mereka juga lebih menghormati lagu Negaraku berbanding remaja lain  yang tidak terpilih.

"Keadaan sungguh berbeza, walaupun peserta sudah keluar daripada kem latihan, semangat menghormati lagu kebangsaan lebih menebal di kalangan bekas pelatih dan semangat itu tidak dapat disangkal," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Beliau berkata, melihat keadaan negara pada hari ini, terutama usaha untuk mencetuskan isu perkauman, sewajarnya kerajaan melakukan transformasi terhadap PLKN dengan mencontohi Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) Brunei.

"PKBN di Brunei boleh dijadikan contoh jika mahu mentransformasikan PLKN kerana menerusinya ia bukan sahaja mementingkan aspek pembangunan diri, semangat cintakan negara bahkan mengutamakan nilai kerohanian dan keagamaan," katanya.

Mohd Shafik yang juga bekas pelatih Kem PLKN Ulu Pari Rembau pada 2004 berkata, aspek kerohanian dan keagamaan juga perlu diberi lebih tumpuan menerusi modul pengajarannya kerana ia penting bagi membantu generasi muda mengharungi dunia yang penuh cabaran.

"Di dalam program ini aspek keagamaan tetap ada tetapi mungkin perlu diseimbangkan dengan aspek lain kerana adalah tunjang utama bagi pelatih beragama Islam, selain mendedahkan pelatih mengenai batas-batas dalam pergaulan dalam menangani gejala sosial yang semakin meruncing kini," katanya.

Jelas pemuda berusia 29 tahun itu, beliau yakin program tersebut berupaya memberi impak besar dalam masyarakat terutamanya pelatih dari bandar kerana golongan itu kurang didedahkan dengan semangat kejiranan yang tinggi.

"Kalau kita lihat di bandar sifat kejiranan itu masih belum cukup kuat jika dibandingkan di kampung. Mereka lebih suka buat hal sendiri. Dengan adanya program itu sekurang-kurangnya generasi muda didedahkan dengan aktiviti kemasyarakatan," katanya.

Turut menyokong supaya program ini diteruskan adalah Connie Uding, 21, yang mengakui program itu banyak mengajar dirinya untuk lebih berdikari dan berkeyakinan tinggi ketika berdepan orang ramai.

"Saya tak pernah duduk asrama tetapi bila sertai program ini semua perkara saya kena buat sendiri. Sejak dari itu saya jadi lebih berdikari dan sifat pemalu tiba-tiba hilang," kata bekas pelatih kumpulan 2 siri 9 pada 2012 itu.

Connie berkata, semasa mengikut program itu dia didedahkan mengenai adat perkahwinan dan budaya kaum lain selaras konsep 1Malaysia.

"Sebelum ini saya tak tahu sangat budaya dan adat perkahwinan kaum lain tapi banyak ilmu yang saya perolehi selepas menyertai program ini. Kalau diberikan peluang saya ingin ikuti program itu semula," katanya.

Sementara itu, Nurul Syuhada Mohamad, bekas pelatih di Kem PLKN Wang Kelian, Perlis pula berkata, dengan menyertai program tersebut sekurang-kurangnya masa terluang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dapat diisi dengan aktiviti bermanfaat.

Nurul Syuhada

"Cuti panjang kami selepas SPM dirasakan sekejap sahaja kerana program tiga bulan itu diisi dengan pelbagai aktiviti lasak dan menyeronokkan. Melalui program ini, gejala sosial juga dapat dikurangkan," katanya.

Nurul Syuhada yang juga penuntut di Universiti Malaysia Perlis (UniMap) berkata, penganjuran program akan lebih berkesan mendidik remaja menjadi insan lebih berkualiti jika kerajaan terus berhubung dengan bekas pelatih selepas menamatkan latihan.

"Sesuatu yang merugikan jika program itu dianjurkan hanya untuk memenuhi tuntutan pengajaran selama tiga bulan sahaja, sepatutnya ada hubungan berterusan antara kerajaan dan bekas pelatih. Setidak-tidaknya bekas pelatih boleh ditawarkan sebagai sukarelawan ketika negara menghadapi bencana yang tidak diduga seperti kejadian banjir baru-baru ini," katanya.

Muhammad Amrie Jaafar, 19, yang menghargai peluang yang diberikan untuk menyertai PLKN berpendapat, program tersebut menjanjikan 1,001 kenangan dan pengalaman yang sukar dilupakan dalam hidupnya.

Muhammad Amrie (tengah bersongkok) bersama rakan pelatih di Kem PLKN Teluk Sari.

"Sebelum ini saya tak pernah masuk hutan, pegang senapang, tapi bila sertai PLKN semua aktiviti lasak kami terokai. Daripada seorang yang pemalu jadi lebih berkeyakinan, semuanya kerana program ini," katanya.

Menceritakan lebih lanjut, bekas pelatih Kem PLKN Teluk Sari , Mersing di Johor itu berkata, pada awalnya dia berasa takut dan berdebar untuk menyertai program tersebut.

"Sebelum itu takut juga nak pergi tapi apabila dah lalui sendiri rasa seronok pula. Makan pun sedap enam kali sehari. Walaupun penat tapi pengalaman yang diperolehi amat berbaloi," katanya.

Bagi Yoong Xue Zhen, bekas pelatih di kem yang sama pula berkata, selepas menyertai program tersebut dia lebih jelas mengenai sistem pilihan raya di negara ini.

"Sebelum ini saya tak ambil peduli sangat pasal pilihan raya, hanya ambil tahu untuk peperiksaan sahaja. Tapi di PLKN kami didedahkan dengan pelbagai perkara, termasuk pentingnya untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi," katanya.

Xue Zhen (berkaca mata) bersama rakannya masih berhubung sehingga sekarang.

Jelas Xue Zhen, keakraban sepanjang program itu juga menbuatkan dia serta rakan pelatih lain masih lagi sehingga hari ini.

"Selain dapat banyak ilmu, saya juga dapat berkenalan dengan ramai kawan dari pelbagai latar belakang. Semangat setiakawan itu masih utuh sehingga hari ini," katanya.



Artikel Lain