Visa: Agensi Indonesia Berang Caj Naik Mendadak, Ugut Henti Hantar Pekerja

- Gambar hiasan

PETALING JAYA: Bayaran pemprosesan visa untuk pekerja Indonesia telah dinaikkan dari RM15 kepada RM250 sejak bulan lepas dan pengusaha agensi pekerjaan di negara itu yang marah telah mengancam untuk menghentikan penghantaran warga mereka ke sini.

Asosiasi Perusahaan Jasa Tenaga kerja Indonesia (Apjati), yang mewakili lebih 500 agensi, telah menulis kepada Parlimen Indonesia dan Kementerian Luar dan Sumber Manusia di negara itu, meminta supaya penghantaran pekerja ke Malaysia dihentikan serta-merta.

Kenaikan ketara harga yuran pemprosesan visa dikenakan sejak bulan lepas.

"Kami dengan tegas menolak kenaikan yuran. Ia merupakan satu eksploitasi terhadap rakyat kita. Peningkatan seperti itu mesti dilakukan melalui persetujuan di antara kedua-dua kerajaan.

"Malaysia harus berunding dengan kerajaan kita terlebih dahulu. Tetapi tiada rundingan dilakukan," kata Presiden Apjati, Ayub Basalamah, pada Selasa.

Apjati adalah persatuan yang terbesar ditubuhkan oleh agensi pengambilan swasta di Indonesia.

Beliau berkata, kos tambahan bagi memohon Visa Dengan Rujukan (VDR) adalah satu beban yang besar kepada rakyat Indonesia yang mahu bekerja atau belajar di Malaysia.

VDR diperlukan untuk mereka yang ingin mendapatkan permit kerja, permit belajar atau pas profesional di Malaysia.

Bayaran ditanggung oleh pekerja dan bukannya majikan di Malaysia, kecuali dalam kes pembantu rumah di mana ia akan dibayar oleh majikan pembantu rumah.

Dengan kenaikan itu, seorang pekerja Indonesia kini perlu membayar kira-kira RM230 hanya untuk yuran visa bagi memasuki Malaysia.

Kedutaan Malaysia di Indonesia bulan lalu mengeluarkan kenyataan kepada agensi pekerjaan di sana untuk mengumumkan struktur yuran baharu.

Ia berkata ini adalah sejajar dengan penubuhan cawangan Pusat Sehenti di Jakarta, Medan, Pekan Baru dan Pontianak untuk memproses permohonan visa.

Sebuah syarikat swasta dilantik oleh Malaysia bagi menjalankan operasi Pusat Sehenti ini.

"Apa yang lebih buruk, selain membayar yuran pemprosesan RM250 kita perlu memberikan butir-butir pekerja kami kepada sebuah syarikat swasta dan bukannya Kedutaan Malaysia," katanya.

Ketika dihubungi, Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, kedutaan itu telah diarahkan oleh Kementerian Dalam Negeri untuk menggunakan khidmat Pusat Sehenti pemprosesan visa.

Beliau berkata, terdapat bantahan dan aduan mengenai kenaikan yuran secara bertulis sejak ia dilaksanakan pada Disember.

"Aduan bukan sahaja daripada kumpulan pekerja tetapi juga daripada ejen penghantaran pelajar ke Malaysia," katanya.

Walau bagaimanapun, Zahrain berkata beliau merasakan yuran tersebut adalah adil kerana syarikat itu mempunyai kos sendiri untuk ditampung.

"Syarikat itu menjalankan pemeriksaan latar belakang terhadap mereka yang memohon visa dan menghantar maklumat tersebut kepada Jabatan Imigresen yang kemudiannya meluluskan visa.

"Sebelum ini, kita mempunyai masalah dengan dokumen palsu yang dikemukakan, dan syarikat ini kini 'menjaga' masalah ini," katanya.

Beliau menambah negara-negara lain seperti Amerika Syarikat juga telah menaikkan caj visa.

Artikel Berikut

Klik

Ayuh utamakan keselamatan pekerja! Jom sasar kurangkan kecederaan, penyakit di tempat kerja

KESELAMATAN dan kesihatan dalam kalangan pekerja perlu sentiasa menjadi keutamaan.

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

Kajian semula tarif IWK amat diperlukan untuk penjagaan alam sekitar dan kebersihan awam

DALAM usaha untuk mengekang penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia, banyak perniagaan yang terpaksa gulung tikar ketika tempoh PKP.

Wow! Usahawan dedah bagaimana SOP mampu jadikan bisnesnya lebih power

FRASA 'SOP' (Prosedur Operasi Standard) telah menjadi buah mulut dalam kalangan rakyat Malaysia sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dimulakan pada bulan Mac 2020.

Semua ada! Menu dunia, lokasi menarik lengkapkan pakej Australia... destinasi ‘wish list’ percutian anda

AUSTRALIA bukan sahaja mempunyai pelbagai lokasi menarik tetapi menawarkan pelbagai pilihan makanan halal yang cukup mudah diakses di mana sahaja.

Artikel Lain