suria

Wisma Putra Tunggu Laporan Penuh Rakyat Malaysia Terbunuh Di Filipina

Dua wajah Marwan yang dikatakan terkorban dalam pertempuran di Filipina.

KUALA LUMPUR: Wisma Putra masih menunggu bukti dan laporan penuh daripada kerajaan Filipina berhubung dakwaan bahawa seorang rakyat Malaysia terbunuh sewaktu pertempuran membabitkan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dengan komando polis Filipina.

Jurucakap Wisma Putra berkata berdasarkan laporan awal yang diterima, pertempuran itu berlaku pada Ahad lepas.

"Lelaki itu dilapor terbunuh tetapi pengesahan belum diterima lagi walaupun kerajaan Filipina memaklumkan mereka mempunyai bukti berkenaan," katanya kepada Bernama, Selasa.

Laporan media Filipina menyebut seorang lelaki Malaysia berstatus pengganas dan pakar pembuat bom, Zulkifli Hir atau Marwan terbunuh dalam pertempuran yang turut mengorbankan kira-kira 50 komando polis Filipina dan mencederakan 12 anggota yang lain.

Pertempuran berlaku ketika komando polis Filipina cuba menangkap Marwan dalam pertempuran kira-kira 11 jam yang berlaku di bandar Mamasapano yang dikuasai MILF pada pagi Ahad.

Dalam pada itu, jurucakap Wisma Putra berkata kedutaan Malaysia di Manila masih menunggu perkembangan lanjut dari kerajaan Filipina sebelum mengeluarkan kenyataan termasuk kepada keluarga Marwan.

AFP pula melaporkan Setiausaha Dalam Negeri Filipina Manuel Roxas memberitahu sidang akhbar di Manila hari ini bahawa "terdapat kemungkinan besar, menurut 'peserta' bahawa Marwan terbunuh dalam operasi itu, tetapi ini perlu pengesahan.

"Ketika komando gagal mendapatkan mayat sasaran utama mereka, mereka sempat mengambil gambar, dan gambar-gambar ini akan menjalani proses untuk menentukan sama ada orang itu Marwan atau bukan," katanya.

Roxas berkata, beliau sendiri telah melihat gambar-gambar itu, tetapi tidak dapat "menyatakan sama ada gambar-gambar ini adalah Marwan".

Dalam pada itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay berkata setakat ini tiada pengesahan rasmi diperoleh daripada rakan sejawatan sama ada individu itu adalah Marwan.


Wisma Putra, Marwan, Filipina

Artikel Lain