suria

Syarat Kemasukan Ke SBP Bagi Pelajar Tingkatan Tiga Perlu Dikaji

PUTRAJAYA: Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pendidikan (KKGDPP) pada Selasa meminta Kementerian Pendidikan mengkaji semula syarat kemasukan ke sekolah berasrama penuh (SBP) bagi pelajar lepasan tingkatan tiga susulan pelaksanaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Presidennya Datuk Mohamed Sabri Mohd Arsad berkata syarat enam A semasa pelaksanaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dibimbangi akan menjejaskan matlamat pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

"Kita dapati kebanyakan sekolah, bilangan pelajar yang mendapat enam A semakin kurang jadi ia akan ganggu hasrat PBS untuk keseimbangan dalam peperiksaan secara holistik tidak hanya dalam aspek akademik tetapi juga pembangunan sahsiah yang menyeluruh.

"Kongres cadangkan supaya kaji mekanisme lain termasuk mungkin ujian PT3 40 peratus atau ujian lain 60 peratus," katanya kepada pemberita selepas pertemuan KKGDPP bersama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan di sini.

Sementara itu Mohamed Sabri berkata dalam pertemuan selama hampir dua jam itu kongres turut mencadangkan agar guru-guru gred DG48 dibenarkan memegang jawatan dalam kesatuan sekerja berbanding hanya mengehadkan kebenaran itu kepada gred DG44, ketika ini.

"Dulu DG48 adalah ketua jabatan, pengetua atau memegang jawatan pegawai pendidikan negeri, tetapi pada masa sekarang gred bagi jawatan itu ditingkatkan kepada DG52 dan ke atas.

"Maka kami mohon supaya guru-guru yang aktif (DG48) dalam persatuan dibenarkan terlibat dalam jawatan di peringkat persatuan dan kesatuan guru," kata Mohamed Sabri.

Selain itu, beliau juga memaklumkan guru yang berusia 50 tahun dan ke atas mungkin diberi laluan untuk ke gred DG42 melalui kursus jangka pendek selama enam bulan sebagai menghargai pengorbanan mereka yang tidak berpeluang menyambung pelajaran.

Katanya kongres juga mencadangkan supaya guru dilindungi oleh insurans kemalangan terutama semasa membawa pelajar untuk aktiviti kokurikulum.

"Kami cadangkan mungkin perkasakan Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) melalui potongan gaji misalnya RM5 daripada kira-kira 480,000 guru sebulan.

"Pada masa ini murid dilindungi melalui insurans RM1.50 setahun tetapi guru tiada," katanya.

Artikel Lain