suria

Tiada Aduan Rasuah Melibatkan Dana Banjir - SPRM

Mustafar Ali

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menerima aduan rasuah melibatkan penyaluran dana RM500 juta untuk mangsa banjir di negeri yang terlibat dengan bencana itu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Mustafar Ali berkata Bilik Gerakan suruhanjaya itu menerima 71 panggilan semenjak Jawatankuasa Integriti Pengurusan Tabung dan Dana Banjir (JIPTDB) dilancarkan 13 Januari lepas.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 59 panggilan diklasifikasikan sebagai panggilan umum manakala 12 lagi panggilan sebagai tidak puas hati terhadap agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Tujuh panggilan diterima melibatkan perasaan tidak puas hati terhadap pejabat daerah, jajahan serta penghulu, tiga melibatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan masing-masing satu bagi Majlis Agama Islam (Pahang) dan pertubuhan politik," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian kepada Bernama semasa ditemui selepas menjadi tetamu dalam program bual bicara 'Dalam Radar' kendalian Bernama Radio24 di Wisma Bernama pada Isnin.

JIPTDB ditubuhkan bagi memastikan pengurusan dana dan tabung banjir kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikendalikan dengan telus dan bebas daripada penyelewengan.

Selain SPRM, jawatankuasa itu turut dianggotai Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Audit Negara.

Mustafar berkata suruhanjaya itu turut menasihatkan pemohon bantuan banjir supaya tidak memalsukan maklumat untuk mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang.

"Sekiranya ada pemohon yang melakukan penipuan, mereka boleh didakwa dibawah Seksyen 18 Akta SPRM dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Hukuman denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan dan penjara sehingga tempoh 20 tahun boleh dikenakan jika sabit kesalahan," katanya. 

SPRM, Dana banjir

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain