suria

Kaji Semula Rotan Anak Kesalahan Jenayah – Pemuda Umno Johor

PETALING JAYA: Pemuda Umno Johor menggesa kerajaan supaya memperhalusi semula rang undang-undang baharu bagi menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 yang mencadangkan supaya merotan anak sebagai satu kesalahan jenayah.

Ketuanya, Hahasrin Hashim berkata, merotan anak perlu dibezakan antara memukul untuk mendidik dengan memukul yang membawa kemudaratan kepada kanak-kanak.

Katanya, walaupun terikat dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC), kerajaan seharusnya terlebih dahulu merujuk kepada budaya masyarakat Malaysia, serta mengutamakan agama Islam sebelum membuat keputusan berhubung cadangan itu.

"Rentetan dari kes Azizul dan Shalwati di Sweden yang bersalah kerana memukul anak telah membuka satu persepsi baharu dalam masyarakat Malaysia tentang terma mendisiplinkan anak. Majoritinya di Malaysia, malah Islam tidak menolak rotan sekiranya ia tidak mencederakan anak.

“Oleh itu, Pemuda Umno Johor mengesa kerajaan memperhalusi semula akta baharu ini dan mengkaji semula dalam memberi sepenuh keupayaan untuk kepentingan terbaik bagi kanak-kanak di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pada Sabtu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, merotan anak bakal menjadi suatu kesalahan jenayah sekiranya rang undang-undang baharu itu yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat selewat-lewatnya Julai depan, diluluskan.

Menurut Rohani, penggubalan akta baharu itu kini dalam peringkat akhir untuk diperhalusi oleh Jabatan Peguam Negara.

Hahasrin berkata, gesaan itu turut mahu mengelakkan mana-mana pihak untuk mengeksploitasikan akta baharu demi kepentingan peribadi dan agenda tersendiri.

Sehubungan itu katanya, satu penerangan umum yang jelas perlu dibuat kepada masyarakat sebelum perkara tersebut dibentangkan di Dewan Rakyat.

 

Artikel Lain