suria

Banjir: Peruntukan Bina Semula Infrastruktur Ditambah Jika Ada Lebihan Pendapatan

IPOH: Peruntukan tambahan untuk pembinaan semula infrastruktur di negeri yang terjejas akibat bencana banjir boleh diberikan jika kerajaan mempunyai lebihan pendapatan ketika ini, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata pada masa ini, kerajaan memperuntukkan RM800 juta untuk membaiki dan membina semula infrastruktur asas seperti jalan raya, jambatan, sekolah, masjid dan hospital yang musnah akibat bencana itu.

Katanya, peruntukan itu disalurkan secara berperingkat mengikut keperluan pembangunan semula negeri-negeri yang terjejas banjir baru-baru ini.

"Kerajaan akan mencari sumber pendapatan lain untuk mendapat lebih banyak peruntukan. Setakat ini, kita salurkan RM800 juta dahulu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sekolah Agama Rakyat Al Iman Seri Desa, Tanah Hitam di sini, Ahad.

Pada majlis itu, Ahmad Husni turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM47,000 kepada pengerusi sekolah agama itu Mohamad Zaabani Hassan.

Pada 20 Januari lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini mengakibatkan kemusnahan infrastruktur dengan anggaran mencecah hampir RM2.9 bilion.

Banjir luar biasa yang melanda beberapa buah negeri di pantai timur dan utara Semenanjung termasuk Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah dan Perak, serta sesetengah tempat di Johor, Sabah dan Sarawak melibatkan kira-kira 400,000 mangsa.

Ahmad Husni berkata, penilaian sebenar kerosakan akibat bencana itu sedang dilakukan dengan laporan terperinci diberikan oleh semua agensi dan kementerian terbabit. 

"Ini kerana terdapat kerja-kerja pembaikan mengambil masa lebih daripada setahun, sebab itu kita tidak dapat membuat anggaran sebenar," katanya.

Artikel Lain