suria

Lelaki Warga Afrika Selatan Ke Tali Gantung Edar Dadah

Warga Afrika, Deon Jacobus Cornelius, 28 dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi di George Town pada Khamis selepas dijatuhi hukuman gantung sampai mati atas kesalahan memiliki 1.9 kilogram dadah jenis methamphetamine di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dua tahun lepas. Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori. -fotoBERNAMA
GEORGE TOWN: Seorang pengawal keselamatan warga Afrika Selatan dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 1,949 gram, dua tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Nordin Hassan membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan tertuduh Deon Jacobus Cornelius, 28, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya Nordin berkata berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan oleh saksi keenam pendakwaan iaitu Penolong Pengarah Kastam, Bon Lee Tan Pett mendapati terdapat serbuk dadah dalam beg komputer riba milik tertuduh.

Nordin berkata pembelaan tertuduh yang menyatakan beg tersebut bukan miliknya tetapi beg itu adalah untuk diserahkan kepada orang lain merupakan satu bentuk keterangan yang difikirkan kemudian.

Katanya, alasan tertuduh yang menyatakan dia tidak mengetahui beg itu  mengandungi dadah juga adalah satu alasan yang tidak boleh diterima.

Pesuruhjaya Kehakiman itu berkata keterangan daripada saksi-saksi pendakwaan merupakan keterangan yang berkredibiliti dan tidak boleh dicabar.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa, Pulau Pinang dalam daerah Barat Daya di sini pada 11.40 pagi, 4 Oktober 2013.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zuraidah Zakaria manakala tertuduh diwakili peguam Hussaini Abdul Rashid.

Artikel Lain