suria

Banjir: RM380 Juta Taksiran Kemusnahan Infrastruktur Dan Aset KKM

Datuk Seri Dr S. Subramaniam (empat dari kiri) melihat mesin rawatan pergigian yang rosak akibat banjir besar ketika melawat Klinik Pergigian di Kuala Krai baru-baru ini.
PUTRAJAYA: Taksiran kemusnahan infrastruktur dan aset Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akibat banjir buruk yang melanda beberapa negeri dianggarkan RM380 juta setakat ini, kata Menterinya Datuk Seri Dr S.Subramaniam, Khamis.

Beliau berkata lebih 100 klinik dan hospital perlu dibaiki dan dibina semula selain perlu membeli peralatan perubatan dan kenderaan yang rosak akibat banjir.

Katanya perkara tersebut telah dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara untuk dimasukkan dalam senarai belanjawan untuk membangunkan aset-aset yang rosak atau hilang semasa banjir.

"Saya turut merakamkan penghargaan kepada semua kakitangan di bawah kementerian yang banyak berkorban tenaga menyelamatkan banyak aset khususnya peralatan perubatan.

"Kebanyakan ubat berjaya diselamatkan. Kesemua ini telah menjimatkan beberapa juta ringgit, dan kementerian kini dalam proses mengira jumlah aset yang berjaya diselamatkan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat Tahun Baharu 2015 kepada warga kementeriannya di sini Khamis.

Dr Subramaniam berkata aset seperti mesin x-ray dan kerusi untuk rawatan gigi merupakan antara peralatan perubatan yang gagal diselamatkan.

Dalam pada itu, beliau berkata cabaran kementerian sekarang ialah untuk meneruskan segala usaha bagi memastikan penyakit yang merebak melalui makanan dan air seperti leptospirosis boleh dikawal.

Dalam amanat beliau sebelum itu, Dr Subramaniam berkata ketiadaan sumber elektrik, air yang bersih, bekalan makanan mencukupi serta mengalih pesakit ke hospital lain merupakan antara cabaran besar kementerian dalam menghadapi banjir.

"Walaupun Tenaga Nasional Bhd atau agensinya, bertungkus lumus membaiki elektrik, namun ia tidak menepati masa yang kita perlu secepat mungkin. Oleh itu, adalah wajar sekiranya kementerian mempunyai satu sistem tersendiri dalam menangani apa jua krisis melanda negara ini," jelas beliau.

Mengulas mengenai penstrukturan semula Bajet 2015 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa lalu, Dr Subramaniam berkata KKM akan melakukan perancangan bagi mengurangkan perbelanjaan sebanyak RM500 juta.

Dr Subramaniam pada majlis itu turut melancarkan Tabung Bencana Mangsa Banjir warga kementerian bagi membantu 6,000 anggota kementerian yang terjejas akibat banjir itu.

Kempen Kutipan Derma RM10 daripada setiap warga KKM adalah untuk meringankan beban mangsa banjir warga kementerian yang mengalami kerugian harta benda dan tempat tinggal, yang dianggarkan sekitar RM70 juta.

Kempen yang bermula sejak 24 Dis tahun lalu berjaya mengumpulkan sejumlah RM321,500.

Artikel Lain