suria

Tiada Keperluan Struktur Semula Belanjawan 2015 Selangor - MB

Azmin Ali

BATU ARANG: Kerajaan Selangor tidak akan melakukan penstrukturan semula Belanjawan 2015, seperti langkah pengubahsuaian dan intervensi yang dilaksanakan kerajaan Pusat, walaupun mengalami defisit sebanyak RM450 juta.

Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya mendapati tiada keperluan untuk berbuat demikian buat masa ini.

"Tidak ada keperluan untuk menyemak Belanjawan 2015 bagi Selangor kerana kita telah menghidu kemungkinan berlaku kelembapan ekonomi tahun ini.

"Kita mengambil pelbagai langkah untuk tangani masalah. Sebab itu kita bentangkan bajet defisit jujur yang tumpu kepada soal pembangunan bagi menangani kegawatan ekonomi," katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah 'Rumah Selangorku Idaman PKNS Kota Puteri' di sini, Khamis.

Azmin berkata, kerajaan negeri juga sedia berhadapan kemungkinan berlakunya kegawatan ekonomi berdasarkan prospek ekonomi global yang semakin suram.

Justeru Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan negeri akan memberi fokus kepada pembangunan yang dapat menjana aktiviti ekonomi dan meningkatkan pendapatan rakyat bagi mengurangkan kesan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada April ini.

"Selain itu, langkah penjimatan dan perbelanjaan berhemah oleh kerajaan negeri akan terus diperketatkan berteraskan prinsip pentadbiran yang baik," katanya 

Artikel Lain