suria

Dua Pati Cedera Terjun Bangunan Elak Serbuan Imigresen

MELAKA: Dua pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia cedera ketika cuba melarikan diri daripada serbuan Jabatan Imigresen dalam satu operasi di sini pagi Rabu.

Mereka dipercayai terjun dari bilik mereka di tingkat dua Pangsapuri Sri Rampai, Tengkera di sini semasa kediaman mereka diserbu oleh enam anggota penguatkuasa jabatan itu kira-kira pukul 2.45 pagi Rabu.

Pemangku Pengarah Imigresen Melaka Abu Bakar Sidek Hasan berkata mereka berusia 26 dan 27 tahun itu merupakan pekerja kontrak binaan di kawasan berdekatan dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

"Setelah pintu diketuk beberapa kali oleh pegawai penguatkuasa, kedua-dua lelaki tersebut dipercayai bertindak terjun dari tingkap bilik mereka kerana cuba mengelak daripada diperiksa anggota penguatkuasa.

Beberapa minit kemudian kedengaran bunyi seperti benda jatuh dan apabila siasatan dijalankan, dua lelaki ditemui terjatuh di tingkat bawah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini Rabu.

Abu Bakar berkata seorang dari lelaki itu cedera parah di bahagian kaki dan retak di kepala, manakala seorang lagi cedera di bahagian kaki dan tangan dan mereka telah dihantar ke Hospital Melaka di sini.

Sementara itu, dalam operasi bermula 12 tengah malam dan berakhir lima jam kemudian di tiga lokasi sekitar Melaka Tengah itu, seramai 52 orang pendatang asing ditahan atas pelbagai kesalahan.

Beliau berkata mereka yang ditahan terdiri daripada empat lelaki dan enam  wanita warga Indonesia, lapan lelaki dan dua wanita warga Myanmar, 25 lelaki warga Bangladesh dan tujuh lelaki warga Nepal.

 


Pati, serbuan, Jabatan Imigresen

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain