suria

Kaji Semula Elaun Guru Besar - NUTP

Hashim Adnan.
KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) meminta Kementerian Pendidikan mengkaji semula kadar elaun guru besar sekolah rendah yang tidak selari dengan kos sara hidup semasa. 

Presidennya Hashim Adnan berkata kadar elaun guru besar sebanyak RM100 itu tidak berubah sejak kali terakhir dinaikkan pada tahun 2001, yang bertujuan menggalakkan mereka melaksanakan tanggungjawab pengurusan sebagai pentadbir di sekolah dengan lebih berkesan.

Bagaimanapun, beliau berkata ketiadaan kenaikan kadar elaun itu menimbulkan ketidakpuasan hati di kalangan guru besar.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan seorang guru dari Pahang yang disiarkan dalam ruangan surat pembaca sebuah akhbar harian, pada Rabu.

Guru itu, yang namanya tidak didedahkan, berkata elaun guru besar sebanyak RM100 sebulan jauh berbeza berbanding elaun warden asrama sebanyak RM240 sebulan yang menguruskan bilangan murid lebih kecil berbanding sebuah sekolah.

Hashim mencadangkan kenaikan elaun kepada RM200 diberi kepada guru besar-guru besar berkenaan.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata kenaikan elaun guru besar itu perlu dilaksanakan tetapi kementerian perlu mencari masa yang sesuai.

"Fokus utama sekarang adalah menghulurkan bantuan kepada sekolah-sekolah yang dilanda banjir yang sudah pasti akan membabitkan kos yang tinggi.
Sehubungan itu, kenaikan itu boleh dilakukan dan memastikan ia tidak membebankan kerajaan dari segi kewangan," katanya.
NUTP, elaun, guru besar

Artikel Berikut

Artikel Lain