suria

Nik Aziz Hidap Kanser Prostat

Nik Abdul Aziz Nik Mat.
PETALING JAYA: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat disahkan menghidap penyakit kanser prostat dan memerlukan rawatan berterusan daripada doktor

Anaknya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, ayahnya menghidap penyakit tersebut sejak sekian lama.

"Ayahanda menghidap kanser prostat yang dikesan sejak sekian lama tetapi rawatan berterusan oleh para doktor telah berjaya mengawalnya.

"Terima kasih kepada pihak hospital yang telah dan sedang memberikan yang terbaik," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di akaun Facebook miliknya pada Rabu.


Mengulas mengenai keadaan Nik Aziz selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian pada petang Selasa, Nik Mohamad Abduh berkata, ayahnya itu menunjukkan reaksi lebih baik dan stabil.

"Ayahanda agak uzur ketika dimasukkan ke wad ICU petang tadi. Selepas diberi rawatan, ayahanda menunjukkan reaksi lebih baik dan stabil," katanya.

Walaubagaimanapun, beliau berkata, doktor memaklumkan bahawa ayahnya memerlukan rawatan lebih rapi untuk pulih.

Nik Mohamad Abduh yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas turut berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan kesihatan ayahnya.

"Terima kasih juga kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan untuk kesihatan ayahanda," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, bagi sesiapa yang ingin menziarahi ayahnya, kunjungan itu adalah mengikut prosedur yang ditentukan oleh pihak hospital dan dipersetujui ahli keluarga.

Terdahulu, Nik Aziz dilaporkan berada dalam keadaan stabil tetapi masih tidak sedarkan diri.

Nik Mohamad Abduh berkata ayahnya itu menjalani rawatan kemoterapi pada 2012.

"Ayahanda menggunakan alat bantuan pernafasan dan saya tidak boleh bercakap dengannya kerana beliau masih tidak sedarkan diri," katanya.

Jelas Nik Mohamad Abduh, keadaan kesihatan ayahnya mula merosot pada Disember tahun lalu.

Nik Aziz Nik Mat, kanser prostat

Artikel Sebelum

Saya Bukan Pelobi - Zulhazmi

Artikel Berikut

Artikel Lain