suria

LZS Hormati Keputusan Bapa Kembar Siam

Rosli tetap dengan pendirian untuk menolak tawaran bantuan fakir miskin.

PETALING JAYA: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menghormati keputusan Rosli Abdul Rahim, bapa kepada pasangan kembar siam, Ahmad dan Muhammad yang menolak untuk menerima bantuan zakat kategori asnaf fakir dan miskin yang ditawarkan kepada keluarganya.

Kenyataan itu dibuat selepas Rosli masih enggan menerima tawaran yang dikemukakan LZS untuk kali kedua iaitu pemberian dua kategori bantuan zakat iaitu asnaf fakir dan miskin serta ansaf gharimin.

Rosli, 44, menegaskan beliau hanya akan menerima bantuan asnaf gharimin bagi menampung perbelanjaan bulanan membeli lampin pakai buang dan beg najis kedua-dua anak istimewanya itu.

Atas dasar itu, LZS memutuskan untuk mempermudahkan urusan bantuan selama enam bulan untuk Ahmad dan Muhammad sebaik borang permohonan diserahkan kepada pejabat agensi tersebut yang berdekatan.

Pengurus Komunikasi Korporat Lembaga Zakat Selangor (LZS), Norajun Ainun Mohd Hashim berkata, pihaknya masih lagi menunggu borang permohonan daripada Rosli. 

Rosli menjaga Ahmad dan Muhammad bagai menantang minyak yang penuh.

"Lagi cepat dia hantar (borang), lagi cepat bantuan disalurkan," katanya kepada mStar Online. 

Menurutnya, sebaik sahaja borang tersebut diterima, LZS akan memproses permohonan itu dalam tempoh 14 hari sama seperti permohonan lain.

Namun, bagi kes ini, Norajun berkata, urusan bagi mendapatkan bekalan lampin pakai buang dan beg najis untuk pasangan kembar itu akan dipermudahkan.

"Kali ini, Rosli hanya perlu ke farmasi atau kedai berdekatan yang dilantik LZS sebagai pembekal barangan keperluan tersebut," katanya.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, Norajun berkata, Rosli boleh mengambil barangan keperluan dua anaknya itu mengikut jumlah bantuan yang diluluskan bagi tempoh enam bulan.

"Dia hanya perlu ambil sahaja... tidak perlu lagi buat tuntutan wang pembelian barang keperluan tersebut kepada LZS. Dia boleh ambil setiap bulan sehingga tempoh bantuan berakhir atau sekali gus. Kita mahu memudahkan urusan selepas mengambil kira masalah yang dihadapinya," kata Norajun.

Muhammad boleh mencuci pinggannya sendiri tanpa bantuan sesiapa.


Sebelum ini, bapa kepada enam orang anak itu perlu mengeluarkan wang sendiri terlebih dahulu dan seterusnya membuat tuntutan bayaran daripada LZS.

Permohonan bantuan tersebut pernah diluluskan selama dua tahun tetapi tuntutan hanya dibuat untuk tempoh dua bulan pada 2013 dan tiada tuntutan bagi 2014.

Namun, Rosli menyifatkan proses tersebut sebagai 'tidak mesra' selepas mengambil kira beberapa masalah yang dihadapinya.

"Pendapatan saya di bengkel besi tidak tetap. Jika pelanggan bayar awal adalah wang untuk saya beli stok selama sebulan. Jika tak ada bayaran, saya belilah sebungkus dua sahaja (lampin pakai buang)," katanya.

Malah, kata Rosli, proses beli dahulu kemudian buat tuntutan juga dianggap melecehkan kerana dia perlu berulang alik ke pejabat zakat setiap bulan.

"Masa saya agak terhad. Selain menghantar anak-anak saya ke sekolah, sepenuh masa saya berada di bengkel. Biasalah nak cari rezeki untuk keluarga kenalah kerja kuat," katanya.







  
 

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain