suria

Polis Rampas 90 Kg Ganja Bernilai RM300,000 Di Kubang Semang

Datuk Abdul Rahim Hanafi menunjukkan ketulan mampatan ganja semasa mengadakan sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di Bukit Mertajam, Selasa. Sebanyak 90 ketulan mampatan ganja dirampas dari sebuah kenderaan di kawasan Kubang Semang, Bukit Mertajam, Isnin. Anggaran harga pasaran ganja berkenaan adalah RM300,000. -fotoBERNAMA
BUKIT MERTAJAM: Polis merampas 90 kilogram ganja bernilai RM300,000 dalam pemeriksaan terhadap sebuah kereta yang ditinggalkan di tepi jalan di Kubang Semang, di sini, Isnin.

Susulan rampasan itu, polis menahan seorang lelaki yang mempunyai rekod jenayah dalam serbuan di sebuah rumah di Tanah Liat di sini, awal pagi ini, kata Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi.

"Hasil pemeriksaan terhadap kereta Proton Waja itu pada 8.30 malam tadi, polis menemui 90 ketul daun kering disyaki dadah jenis ganja," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di sini Selasa.

Beliau berkata polis menemui kunci kereta Proton Waja itu dalam pemeriksaan di rumah lelaki berusia 28 tahun terbabit pada 1.30 pagi dan polis turut merampas dua telefon bimbit serta sebuah motosikal Kawasaki.

"Siasatan polis mendapati lelaki itu aktif mengedar ganja di sekitar SPT secara sendirian sejak lima bulan lepas. Dia direman sehingga 27 Januari bagi membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata kertas siasatan kes kanak-kanak perempuan yang diselamatkan dalam keadaan kelaparan di Sungai Dua, Butterworth, Khamis lepas diserah kepada Ketua Unit Pendakwaan hari ini.

"Bapa kanak-kanak itu masih direman sehingga esok dan dia yang berusia 34 tahun akan didakwa menurut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana penganiayaan dan pengabaian terhadap mangsa," katanya.

Kanak-kanak perempuan murid tahun satu itu ditemui dalam keadaan lemah dan kelaparan di sebuah rumah yang tidak mempunyai bekalan air dan elektrik selepas seorang guru membuat laporan polis mengesyaki sesuatu berlaku selepas dia tidak hadir ke sekolah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain