suria

Kastam Sabah Rampas 26 Kg Dadah Bernilai RM4.9 Juta

- Gambar hiasan
KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas dadah methamphetamine bernilai RM4,940,000 berikutan penahanan dua individu di sebuah syarikat penghantaran barang di Tawau, Jumaat lepas.

Pengarahnya Datuk Dr Janathan Kandok berkata dadah seberat 26 kilogram itu dirampas daripada suspek yang menuntut bungkusan itu di syarikat berkenaan pada 3.45 petang.

"Dua individu lelaki yang berumur 54 dan 56 tahun ditahan ketika sedang memasukkan bungkusan itu ke dalam kenderaan," katanya dalam sidang media di Wisma Kastam, di sini Selasa.

Janathan berkata pihaknya membuat intipan selepas mendapati bungkusan itu mengandungi bahan terlarang yang dikesan melalui mesin pengimbas.

Beliau berkata suspek warga tempatan itu kini ditahan di bawah Seksyen 31B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, ini merupakan rampasan terbesar JKDM Sabah sejak 2012.

Sementara itu, Janathan berkata sejak tahun 2012 hingga Januari tahun ini, sebanyak 13 kes tangkapan dadah di rekodkan di negeri ini melibatkan nilai sebanyak RM10.1 juta.

Katanya, sebanyak 19 individu didakwa di mahkamah iaitu 10 warga tempatan dan sembilan warga asing.

Artikel Lain