suria

Jumlah Mangsa Banjir Di Sarawak Terus Catat Peningkatan

Seorang warga emas duduk termenung di atas kerusi ketika berlindung di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan St Peter berhampiran Kampung Simpok, Padawan kira-kira 30 kilometer dari Kuching pada Isnin.- fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan di Sarawak terus mencatatkan peningkatan ketara pada Isnin malam dengan 5,178 orang berbanding 3,892 orang sebelah petang.

Bagaimanapun jumlah mangsa banjir di Kelantan dan Perak masing-masing menurun kepada 255 orang dan 78 orang setakat 9 malam ini.

Di SARAWAK, mangsa banjir di bahagian Kuching ialah sebanyak 2,677 orang, Samarahan (1,761), Limbang (551) dan Mukah (189).

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri Sarawak berkata jumlah pusat pemindahan yang dibuka juga bertambah kepada 34 pusat berbanding 26 pusat petang tadi dan jumlah ini dijangka meningkat lagi lewat malam ini.

Beliau berkata biarpun cuaca sebelah petang kelihatan baik tetapi keadaan itu bertukar menjelang sebelah malam di merata tempat. Ia bertambah serius berikutan kejadian air pasang besar ketika ini yang dijangka berterusan sehingga beberapa hari lagi.

Menurut jurucakap MKN Sarawak, jumlah sekolah yang ditutup sehingga kini kekal 33 sekolah.

Sementara itu, di KELANTAN, jumlah mangsa banjir pada malam ini berkurangan sebanyak 99 orang kepada 255 orang berbanding 354 orang pada petang tadi.

Jurucakap MKN Kelantan berkata sehingga kini kesemua mangsa yang melibatkan 62 keluarga itu ditempatkan di lapan pusat pemindahan di Kuala Krai berikutan rumah mereka hanyut atau rosak teruk akibat banjir berlaku Disember lepas.

Di PERAK, jurucakap MKN Perak berkata jumlah mangsa banjir di Perak Tengah tinggal sebanyak 44 orang manakala di Hulu Perak 34 orang.

Banjir

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain