suria

Persatuan Mahu Petugas Media Diberi Perlindungan Lebih Ketat

Imej dua penyerang yang dirakamkan sebelum menyerang pejabat akhbar satira Charlie Hebdo di Paris, Rabu.

SINGAPURA: Susulan serangan lelaki bersenjata terhadap pejabat majalah satira Perancis Charlie Hebdo di Paris, yang meragut 12 nyawa pada Rabu, Persatuan Kelab Akhbar Asia Pasifik menyeru kerajaan dan pihak berkuasa di seluruh dunia memberi perlindungan sewajarnya kepada wartawan dan petugas media ketika menjalankan tugas masing-masing.

Persatuan itu juga meminta Kerajaan Perancis mengheret pembunuh terbabit ke muka pengadilan serta menggesa pemimpin agama menganjurkan sikap menghormati kebebasan akhbar dan bertolak ansur dengan pendapat orang lain dalam kalangan pengikut mereka.

Sambil menyuarakan perasaan terkejut dengan serangan pengganas itu, persatuan tersebut berkata pembunuh terbabit dan ideologi pelampau mereka menjadi ancaman kepada kebebasan akhbar di serata dunia.

Katanya, kebebasan akhbar sangat penting dalam masyarakat bebas dan bertamadun.

Antara yang maut dalam serangan itu ialah editor majalah berkenaan, empat kartnis terkenal dan dua pegawai polis.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain