suria

Pengesahan Penemuan Jasad Rakyat Malaysia Masih Belum Diperoleh - Zahrain

Chung Huei (kiri) ketika bercuti bersama isterinya, Annie Wong.

JAKARTA: Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia masih menunggu pengesahan sama ada mayat penumpang tunggal rakyat Malaysia dalam nahas pesawat AirAsia QZ8501, Sii Chung Huei telah ditemui atau sebaliknya.

Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata pegawai kedutaan telah ditugaskan untuk membantu keluarga dan waris Chung Huei di Surabaya dan sebaik sahaja pihak kedutaan menerima laporan mengenai identifikasi jenazah Chung Huei, beliau sendiri akan berlepas ke Surabaya bagi membantu pengurusan jenazah.

"Kita telah membuat persiapan dan jika mayat Chung Huei  ditemui dan disahkan, kita akan terbangkannya terus ke Sarawak menerusi pesawat TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia)," kata beliau kepada Bernama di sini.

Chung Huei adalah suami kepada seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak, Prof Madya Annie Wong Muk Ngiik.

Pesawat Airbus A320-200 yang membawa 162 penumpang dan anak kapal itu terhempas di perairan dekat Pangkalan Bun di Kalimantan Tengah pada 28 Dis lepas ketika dalam perjalanan ke Singapura dari Surabaya.

Penumpang dan anak kapal dalam pesawat itu terdiri daripada 155 warga Indonesia, tiga warga Korea Selatan dan masing-masing seorang warga Singapura, Malaysia, United Kingdom dan Perancis.

Indonesia, QZ8501, Sii Chung Huei

Artikel Berikut

Artikel Lain