suria

"Saya Sudah Jumpa Dan Bincang Dengan Presiden MIC" - Dr Subramaniam

Datuk Seri Dr S.Subramaniam
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata beliau sudah berjumpa dan berbincang dengan Presiden parti Datuk Seri G. Palanivel berhubung kemelut politik yang dihadapi parti itu.

Beliau yang bertemu dengan Palanivel selepas mesyuarat mingguan kabinet di Putrajaya pada Rabu bagaimanapun enggan mengulas berhubung isu yang dibincangkan, dan hanya berkata beliau yakin masalah dalaman parti dapat diselesaikan dengan segera.

Dr Subramaniam berkata pihaknya akan sentiasa bekerjasama bagi menyelesaikan masalah parti berikutan arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) supaya parti itu mengadakan pemilihan semula tiga jawatan naib presiden dan 23 jawatan anggota jawatankuasa kerja pusat (CWC).

"Kami berbincang agak lama dan apa yang kami bincang harus dirahsiakan demi kepentingan parti," katanya kepada pemberita selepas Kempen Derma Darah bagi Mangsa Banjir Pantai Timur di sini, Rabu.

Dr Subramaniam yang merupakan Menteri Kesihatan turut menyangkal dakwaan kononnya hubungan beliau dan Palanivel rengang sejak kebelakangan ini akibat kemelut politik MIC.

Pada Selasa, Dr Subramaniam dalam satu kenyataan berkata beliau tidak tahu tentang perkembangan terkini dalam parti melibatkan komunikasi antara presiden parti dan ROS, terutama mengenai kenyataan Palaivel pada 4 Januari yang beliau telah berjumpa dengan ROS pada 24 Disember lepas.

Ketika diminta mengulas mengenai tuduhan segelintir pihak yang mengaitkan isteri Palanivel, Datin Seri R. Kanagam dalam kemelut MIC, Dr Subramaniam berharap anggota MIC tidak melibatkan hal peribadi dalam masalah parti kerana ia mampu memburukkan lagi keadaan.

Beliau berkata anggota parti harus mengamalkan etika politik yang sihat.
Dr Subramaniam berkata masalah yang dihadapi oleh MIC sekarang adalah masalah yang boleh diselesaikan dengan cara yang baik jika semua anggota parti bekerjasama antara satu sama lain.

Pada 5 Disember, ROS mengarahkan MIC mengadakan pemilihan semula bagi tiga jawatan naib presiden dan 23 jawatan anggota CWC dalam tempoh 90 hari berikutan aduan mengenai penyalahgunaan kuasa dan perbuatan salah laku yang melanggar perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan.

ROS juga meminta parti itu mengadakan pemilihan semula di lapan bahagian iaitu Bayan Baru, Bukit Gelugor, Subang, Bandar Baru Kulim, Taiping, Tambun, Sepang dan Jasin dalam tempoh 60 hari.

ROS juga mengarahkan supaya pemilihan semula diadakan dalam tempoh 30 hari bagi jawatan timbalan pengerusi Batu Kawan, pengerusi bahagian Kota Raja, pengerusi bahagian Tanjung Malim dan pengerusi cawangan Taman Koperasi Polis.

Dua cawangan iaitu Merlimau Utara dan Rumah Pangsa Pekeliling Selatan, juga diarahkan untuk mengadakan pemilihan semula dalam tempoh 30 hari. 

ROS juga menasihatkan MIC supaya tidak mengadakan perhimpunan agung tahunan sehingga isu itu diselesaikan.

Artikel Lain