suria

Hanya Tinggal 34,260 Mangsa Banjir Di Empat Negeri Malam Ini

Penduduk Kampung Aur Gading, Nur Farah Asyikin Man Hazelan, 18, sedih mengenang nasib setelah rumah yang didiami bersama keluarga musnah dihanyutkan arus deras Sungai Tanum di Lipis dalam kejadian banjir besar 23 Disember lepas. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan di empat negeri yang masih terjejas banjir sehingga malam Isnin, menurun kepada 34,260 orang berbanding 38,332 petang tadi.

Setakat 9.30 malam Isnin, sebanyak 4,072 mangsa dari Pahang dibenarkan pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat sejak petang tadi.

Di PAHANG, keadaan banjir semakin pulih apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan berkurangan kepada 22,896 orang berbanding 27,073 petang tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata daerah Pekan menempatkan mangsa paling ramai 11,154 orang diikuti Temerloh (4,662), Maran (2,771), Bera (2,191), Kuantan (1,130) dan Jerantut (988).

Di PERAK, mangsa banjir meningkat seramai 105 orang daripada 5,637 mangsa petang tadi kepada 5,742 orang malam Isnin, berikutan hujan sekejap-sekejap di Perak Tengah.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak berkata kesemua mangsa masih berada di 36 pusat pemindahan di lima daerah iaitu Hulu Perak, Kuala Kangsar, Perak Tengah, Manjung dan Hilir Perak.

Jumlah mangsa banjir di Manjung, Hilir Perak, Kuala Kangsar masing-masing kekal 150, 304 dan 84 orang manakala Perak Tengah meningkat kepada 4,598 orang dan Hulu Perak (606 orang).

Di Kelantan dan Johor, jumlah mangsa masih kekal, masing-masing 5,602 dan 20 orang.

Di KELANTAN, jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri berkata jumlah mangsa yang direkodkan ialah Kuala Krai sebanyak 2,522 orang, Gua Musang (2,076), Tanah Merah (810) dan Machang (204).

Sementara di JOHOR, Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri Johor berkata masih ada satu pusat pemindahan yang aktif di daerah Segamat iaitu Balai Raya Kampung Batu Badak.


banjir

Artikel Lain