suria

Pendekatan Islam Kunci Kejayaan Proses Rundingan Bawa Keluar Mangsa MH17

PUTRAJAYA: Konsep pendekatan Islam yang berteraskan perbincangan secara damai dan berhikmah merupakan antara kunci kejayaan dalam proses rundingan antara Malaysia dengan puak pemisah untuk membawa keluar mangsa nahas pesawat MH17 yang terhempas di Ukraine, 17 Julai lalu.

Penolong Setiausaha Bahagian Pengurusan Bencana, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kolonel Mohd Sakri Hussin berkata walaupun berhadapan rintangan dan risiko dalam menyelesaikan misi itu, beliau bersyukur kerana rundingan itu diselesaikan dengan baik dan cepat.

Beliau berkata selain itu, sifat kesabaran yang tinggi dan tidak sombong ketika berunding juga melancarkan proses membawa keluar jenazah mangsa nahas dari kawasan bergolak itu.

"Kita melalui 12 pusat pemeriksaan untuk ke kawasan nahas dengan sekatan terakhir dikuasai oleh pihak pemberontak, namun pasukan kami sentiasa akur dengan arahan dan prosedur yang ditetapkan oleh mereka sehinggalah selamat sampai di kawasan terbabit," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata ketika operasi itu dilakukan, umat Islam sedang menjalani ibadah puasa dan pasukan menggunakan kesempatan waktu siang yang panjang selama 18 jam di Ukraine untuk menyelesaikan segala urusan sebaik mungkin.


Ketua pasukan Malaysia yang bertanggungjawab membawa keluar jenazah mangsa nahas pesawat MH17 itu merupakan antara lapan penerima Anugerah Maulidur Rasul pada sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1436H/2015M kali ini.

Mohd Sakri turut memuji kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dianggapnya mengambil langkah yang tepat dengan berunding secara senyap-senyap dengan ketua kumpulan puak pemisah, Alexander Borodai bagi memberi laluan kepada pasukannya membawa keluar jenazah mangsa nahas itu.
 
"Pendekatan Perdana Menteri yang berunding secara senyap-senyap (dengan ketua pemberontak) dan menyampaikan maklumat terus kepada saya menyebabkan perkara ini dapat diselesaikan dengan cepat," katanya.

Penerbangan Malaysia Airlines MH17, sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia terhempas di Donetsk, timur Ukraine berdekatan sempadan Rusia itu membawa 298 orang - 283 penumpang dan 15 anak kapal.

Kesemua penumpang dan anak kapal termasuk 43 warga Malaysia terkorban dalam nahas menyayat itu.

Artikel Lain