suria

Tiada Paksaan Guru Terjejas Banjir Bertugas Lebih Awal - Kamalanathan

P. Kamalanathan.

SHAH ALAM: Tiada unsur paksaan kepada mana-mana guru terjejas banjir untuk bertugas lebih awal sebelum sesi persekolahan 2015 bermula, kata Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan.

Beliau berkata, semua pihak harus mematuhi arahan yang telah dikeluarkan sebelum ini berkaitan permulaan sesi persekolahan, namun jika ada guru secara sukarela mahu terlibat membersihkan sekolah, ia dialu-alukan.

"Saya harap tiada unsur paksaan kepada sesiapa saja namun jika ada guru secara sukarela mahu bantu bersihkan sekolah mereka yang terjejas banjir, kita galakkan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan program sumbangan amal 'Kembali Ke Sekolah' di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Sungai Renggam di sini, Jumaat.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) baru-baru ini memohon Kementerian Pendidikan menyiasat laporan terdapat guru terjejas banjir dipanggil bertugas awal sebelum sesi persekolahan baharu bermula.

Sesi persekolahan baharu dijadual bermula pada 11 Jan bagi Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor, dan 12 Januari untuk negeri-negeri lain.

Kamalanathan berkata, pihaknya sedang menyiasat laporan itu.

Dalam pada itu, beliau berkata kementerian sedang mengenal pasti jumlah sebenar guru dan pelajar terlibat banjir untuk tujuan penyaluran bantuan sewajarnya.

Artikel Lain