suria

Tanam Lebih Banyak Pokok Elak Bencana

CAMERON HIGHLANDS: Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan mempergiatkan usaha menanam lebih banyak pokok tahun ini selepas mengadakan kempen menanam lebih empat juta pokok tahun lepas.

Menterinya Datuk Seri G. Palanivel berkata usaha itu adalah untuk memulihara semula kawasan yang diterokai secara haram dan pembalakan berleluasa supaya bencana alam seperti banjir buruk dan tanah runtuh tidak berulang.

"Kita perlu kawal dan ambil tindakan seperti di Janda Baik, Pahang yang penanaman pokok di situ sudah kita mula laksanakan. Di Cameron Highlands sejak empat bulan lepas, kita berjaya tanam 600 pokok daripada spesis Damar Minyak, Podo Kebal Musang Gunung dan Meranti Bukit," katanya kepada pemberita selepas melawat Projek Rancangan Tebatan Banjir Lembah Bertam di Ringlet pada Jumaat.

Beliau berkata bagi usaha penanaman pokok di negeri terjejas banjir, pihaknya masih menunggu laporan lengkap berhubung kemusnahan alam yang berlaku selain kawasan pembalakan secara melampau dan tanah yang diteroka secara berleluasa.

Kementerian sebelum ini menyasar penanaman 80 juta pokok di seluruh negara selepas kempen menanam 26 juta pokok melebihi sasarannya.

Sebanyak 53.13 juta pokok telah ditanam di seluruh negara dengan anggaran keluasan 65,559 hektar sejak kempen berkenaan bermula dari tahun 2010 sehingga Disember 2013, manakala 30 juta pokok lagi akan ditanam dalam tempoh lima tahun akan datang.

Selasa lepas, ketika melawat Kelantan yang menghadapi banjir buruk, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau tidak menolak kemungkinan kecuaian manusia menjadi faktor penyumbang bencana banjir teruk.

Beliau berkata pembukaan tanah secara berleluasa terutama sekali pembalakan yang berlebihan memberi kesan kepada alam sekitar kerana tidak ada penahan semula jadi untuk menahan air daripada terus mengalir ke sungai dengan begitu pantas.

Dalam perkembangan lain, Palanivel yang juga Anggota Parlimen Cameron Highlands berkata beliau akan berbincang dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai kekurangan tenaga buruh asing bagi menampung keperluan sektor pertanian di daerah itu.

"Kita perlu memberi permit kepada sejumlah pekerja asing yang betul-betul diperlukan. Kita tidak mahu beribu-ribu pekerja asing di sini, tidak mahu ramai. Kita mahu yang perlu sahaja," katanya.

Katanya beliau menerima banyak rungutan daripada pengusaha kebun yang beroperasi secara sah mengenai keperluan pekerja asing.

Sejumlah besar pekerja asing tanpa permit yang diupah bekerja di Cameron Highlands terutama di ladang sayur melarikan diri sebaik Ops Gading digerakkan secara bersepadu oleh beberapa agensi penguatkuasaan dan jabatan kerajaan mulai November lepas bagi memburu mereka.

Terdahulu Palanivel melawat lokasi penanaman semula pokok seluas dua hektar di Hutan Simpan Terla dan kawasan tragedi tanah runtuh di Kampung Raja dan Taman Desa Corina.

Cameron Highlands

Artikel Sebelum

Artikel Lain