suria

AirAsia QZ8501: Mayat Khairunnisa Berjaya Dikenalpasti

Khairunnisa Haidar.

PANGKALAN BUN: Mayat Khairunisa Haidar, pramugari berusia 22 tahun yang berada dalam pesawat AirAsia, QZ8501 antara 10 mayat mangsa yang berjaya ditemui dan dibawa ke daratan.

Nama Khairunnisa, terdapat dalam senarai Mangsa Bencana untuk proses pengecaman, merupakan salah seorang daripada dua pramugari yang bertugas dalam pesawat dan jasadnya dikenalpasti melalui tag nama tertera perkataan, 'Khairunnisa' pada pakaian seragam warna merah yang dipakainya. 

Dia turut memakai jam tangan analog berwarna perak di tangan sebelah kiri. Keranda mayat Khairunnisa dilabelkan dengan nombor 004, diterbangkan ke Surabaya pada Khamis. 

Khairunnisa telah berkhidmat dengan AirAsia selama dua tahun.

Ayah mangsa, Haidar Fauzie, sebelum ini sangat berharap agar mayat seorang kabin krew yang memakai seragam berwarna merah yang ditemui adalah anaknya bagi membolehkan upacara pengebumian segera dijalankan. 

Sementara itu, Ketua Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata beliau akan menemani keluarga Khairunnisa pulang ke tempat kampung halaman mereka di Palembang sekiranya keputusan bedah siasat positif mengesahkan jenazah tersebut milik mangsa. 

"Sekiranya proses pengecaman mengesahkan mayat tersebut merupakan Khairunnisa, kita akan pergi terbang ke Surabaya dan pulang ke Palembang bersama keluarga mangsa. Ia sangat menyedihkan hati kami," menurut Tony di laman twitter miliknya. 

Setakat pagi Jumaat, kira-kira 10 mayat berjaya dinaikkan ke daratan daripada selatan perairan Kalimatan lokasi di mana serpihan pesawat berjaya ditemui selepas ia hilang daripada radar pada 28 Disember lalu. Enam daripada jenazah berkenaan telah diterbangkan ke Surabaya untuk proses pengecaman identiti mangsa. 

Seramai 162 penumpang berada dalam pesawat malang tersebut ketika kejadian, beberapa laporan menyatakan juruterbang telah meminta kebenaran untuk terbang pada ketinggian yang lebih tinggi daripada menara kawalan udaran ekoran cuaca buruk. 

Agensi Mencari dan Menyelamat Indonesia (Basarnas) turut dibantu oleh beberapa negara termasuk Malaysia terlibat dalam usaha mengesan bangkai pesawat serta kotak hitam pesawat. 


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain