suria

Mayat Lelaki Bergari Dijumpai Di George Town

GEORGE TOWN: Mayat lelaki dengan kedua belah tangan bergari dari hadapan ditemui di atas bukit di Jalan Semarak Api, Farlim pada Ahad. 

Mayat berkulit gelap tanpa dokumen pengenalan diri itu ditemui orang awam kira-kira pukul 1.00 petang dengan 12 kesan tikaman termasuk dua di muka selain perut dan belakang badan. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Mazlan Kesah berkata penduduk di sekitar kawasan berkenaan menyatakan ada terdengar bunyi pergaduhan di atas bukit itu antara pukul 10 dan 11 malam Sabtu.

"Siasatan awal mendapati mangsa mati dalam tempoh kurang dari 16 jam dan polis percaya jenayah itu dilakukan lebih daripada seorang suspek dan wujud kesan pergelutan di kawasan itu," katanya kepada pemberita di tempat kejadian. 

Kepada pertanyaan sama ada gari itu milik Polis Diraja Malaysia (PDRM), beliau berkata gari itu model lama dan perkara itu masih dalam siasatan.  

Mazlan berkata sebilah pisau pemotong sayur turut dijumpai berdekatan mayat itu disyaki menjadi senjata pembunuhan namun tiada kesan darah padanya kerana mayat dipercayai terkena air hujan semalam. 

Beliau berkata polis masih menyiasat kerakyatan mangsa.  

Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian itu diminta menghubungi balai polis berdekatan untuk membantu siasatan, katanya. 

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat. 

mayat bergari

Artikel Sebelum

Artikel Lain